Minyak masak: PM prihatin senada hasrat kementerian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengalu-alukan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Beliau berkata, rakyat sememangnya menanti-nantikan pengumuman itu demi untuk meringankan beban mereka dalam keadaan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya juga amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang senada dengan hasrat kementerian saya dalam menangani isu kenaikan harga minyak masak botol sekilogram hingga lima kilogram apabila bersetuju pelaksanaan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (MSM),” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Semalam, Muhyiddin berkata untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu kilogram hingga lima kilogram, kerajaan akan melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil.

Menurutnya, melalui program itu, sebagai contoh, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

Selain itu, ujarnya dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kilogram terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.

“Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

Justeru, kata Mohd Khairuddin, dengan pelaksanaan program itu nanti harga minyak masak botol lima kilogram yang tidak bersubsidi dapat dikawal dengan harga silingnya tidak melebihi RM30 sebotol.

Malah, ujar beliau sekiranya kawalan harga MSM itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik, kemungkinan rakyat memperoleh harga minyak masak lima kilogram yang lebih murah.

“Menjadi hasrat saya dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melihat supaya pelaksanaan program minyak masak bersubsidi dapat ditambah baik pada masa hadapan supaya subsidi itu disediakan kepada golongan sasar yang benar-benar layak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -