
KUALA LUMPUR: Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk meningkatkan vaksinasi kepada rakyat berjumlah RM1 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fokus ketiga kerajaan adalah mempercepatkan program vaksinasi.
Katanya, statistik sehingga 26 Jun lalu menunjukkan, sejumlah tujuh juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi lima juta orang.
Menurutnya, sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir dua juta orang atau enam peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
“Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200,000 sehari dalam tempoh tujuh hari lalu,” ujarnya semasa mengumumkan PEMULIH, hari ini.
Selain itu, katanya seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.
Melihat kepada pencapaian itu, jelasnya kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat.
Sehubungan itu, katanua bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa.
“Justeru, sukacita saya umumkan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan seperti berikut:
“Pertama: Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah RM400 juta diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini,” katanya.
Kata beliau, penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.
Tambahnya, anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan.
“Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus,” ujarnya.
Beliau berkata, ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.
Kedua, jelasnya lagi sehingga hari ini, kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT.
Tambahnya, bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta.
“Sebagai contoh, saya telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan beberapa PPV pandu-lalu di IPTA,” katanya.
Baru-baru ini, beliau juga berkesempatan mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang pertama seumpanya di dalam negara.
Jelasnya lagi, ketiga, beberapa hari yang lalu, beliau telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.
Selain itu, katanya bayaran sagu hati intu turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin.
Muhyiddin juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.
Sebagai tambahan, kata beliau kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai 2021.
Katanya, kedua-dua inisiatif itu melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta.
“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” ujarnya.
Keempat pula, jelasnya: MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.
Kata beliau lagi, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan.
“Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah RM150 juta akan disediakan.
Di bawah inisiatif itu, kata beliau antara lainnya kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin Covid-19.
“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan Covid-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV; dan
“Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin,” ujarnya.
Tambahnya, kelima pula, bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan, antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka. – HARAKAHDAILY 28/6/2021











