
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat.
Antaranya, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.
“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Selain itu katanya, diskaun bil elektrik bagi sektor-sektor ekonomi pula dilanjutkan tiga bulan lagi sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.
Antaranya, ujar beliau pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Kata Muhyiddin, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini.
Sehubungan itu katanya, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian satu gigabit (GB) data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.
“Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.
Tambah beliau, kerajaan juga akan menawarkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan.
Katanya, perkhidmatan berkenaan melibatkan 250 kawasan dan mukim di luar bandar di seluruh negara.
Menurutnya lagi, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai.
“Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun, penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil serta perbankan digital,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/6/2021











