
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil (CPO) untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu kilogram hingga lima kilogram.
“Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Kata Muhyiddin, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kilogram terjamin
“Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kilogram pada harga bersubsidi RM2.50,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan akan memperuntukkan RM15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu pihaknya menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.
Beliau juga berkata pihaknya akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat.
Menurutnya program ini dijangka melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion. – HARAKAHDAILY 28/6/2021











