Siaraya bacaan seakan talkin tusuk kesedaran warga

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Suara bacaan seakan talkin yang kedengaran kuat oleh ramai orang dari siarayakenderaan Jabatan Penerangan Negeri Pahang telah mengejutkan penduduk Mukim Beserah, di sini semalam.

- Advertisement -

Dua kenderaan tersebut bergerak di sekitar perkampungan dan taman-taman dengan suara yang dirakam seperti bacaan talkin bertujuan untuk menimbulkan dan menyentuh emosi masyarakat Melayu-Islam.

Seorang penduduk di Kampung Masjid Mohd Farid Husin berkata, beliau terkejut bila terdengar suara speaker yang kuat, nada bunyi macam talkin, tapi ayat-ayatnya menyentuh mengenai COVID-19 di mana rasa takut timbul seolah-olah panggilan maut.

Ketua PAS Cawangan Beserah Tengah, Mohd Rosdi Abdul Rahim pula berkata, usaha sebegini sangat baik untuk menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat yang masih enggan dan tidak memberi kerjasama untuk menangani wabak itu.

Program ini adalah program pertama kali dilancarkan di negeri Pahang dalam bentuk siaraya seakan talkin tersebut dalam memberi penjelasan, penerangan serta merayu kepada masyarakat untuk mendaftar suntikan vaksin COVID-19.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, kelainan pada kali ini suara pengumuman tersebut telah dirakamkan terlebih dahulu dan diperdengarkan pada tempat yang disasarkan.

“Saya menganggap pendekatan yang kreatif yang diambil oleh Jabatan Penerangan ini dengan pelbagai bentuk walaupun dalam bentuk konvensional tetapi ditambah baik pengisiannya, supaya bertepatan dengan suasana semasa dan juga sentimen emosi masyarakat setempat.

“Kita telah bersama memberikan penerangan dan penjelasan tentang pentingnya semua masyarakat bekerjasama mengatasi COVID-19,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, turut sama mengedarkan risalah yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan mengenai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

Terutama sekali dalam memulihkan keadaan ekonomi negara, serta insentif yang telah diberikan oleh kerajaan di Pasar Beserah pagi tersebut.

Program ini dihadiri Pengarah dan Timbalan Jabatan Penerangan Malaysia Pahang, Sabaruddin Yeop Hamzah, Zayana Zahira Md Isa dan agensi lain yang terlibat.

“Wahai insan. Ketahui lah oleh kamu bahawa COVID-19 itu benar. Sakit asbad COVID-19 itu benar. Mati asbab COVID-19 itu juga benar. Ketahuilah oleh insan bahawa COVID-19 ini tidak dapat dilihat dgn mata kasar.

“Tetapi ia amat merbahaya, apabila ia datang deria rasa hilang, deria bau juga tiada, paru-paru diserang demam pula datang. Waktu itu kamu tidak sempat berbuat apa-apa. Ingatlah, patuhilah SOP. Amalkan kawalan kendiri.

“Wahai insan, ketahuilah. Apabila ia sudah menjangkiti kamu. Kemungkinan kita bakal mendiami katil-katil di ICU. Tak jumpa bapa, tak jumpa ibu.

“Wahai insan. Seandainya ajal kamu sudah sampai. Maka pergilah kamu mengadap tuhan kamu tanpa iringan insan tersayang. Tanpa peluk ciuman terakhir. Hanya doa mereka dititipkan dari jauh.

“Ayuh semua insan kita menang bersama. Renung-renungkan, fikir-fikirkanlah,” demikian isi bacaan seakan talkin tersebut. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -