
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bergabung tenaga membantu 560 keluarga yang tinggal di dua projek perumahan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Timbalan Menteri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, agensi berkenaan iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mengagih barangan basah dan kering bernilai RM30,000.
“Penduduk terbabit merupakan penghuni Taman Sri Merbau Utama, Selising dan Taman Perumahan Seri Purnama, Kampung Nara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penghuni Taman Merbau Utama, Selising di sini, hari ini.
Bantuan itu diterima Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yasin yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Sarifudin Tuan Ismail, Pengerusi KADA Dato’ Kamarudin Md Nor, Pengarah LKIM Kelantan, Khuzaimah Husin dan Pengarah LPNM Mohd Zamani Abdul Ghani.
Che Abdullah berkata, barangan berkenaan berupa 570 paket ikan sejuk beku, 560 pek beras, 560 pek telor dan 1.6 tan nanas di bawah program MAFI Prihatin.
Katanya, MAFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa komited bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan selain turut melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat penguatkuasaan PKPD.
Dalam perkembangan lain Tuan Saripudin berkata, kerajaan negeri memberi jaminan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha bersih dan tidak dicemari daripada pelbagai jenis penyakit.
Kata beliau, Jabatan Veterinar Kelantan sedang melancarkan gerakan menyuntik lembu bagi mencegah penularan penyakit berjangkit kuku dan mulut di seluruh negeri sehingga sekarang.
“Mana-mana pihak yang ingin mengerjakan ibadah itu mesti mendapatkan suntikan menerusi pejabat-pejabat penggawa berdekatan dengan segera sebelum gerakan itu ditamatkan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Kelantan tidak menggalakkan mana-mana pihak mengadakan majlis korban perdana bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di Kelantan yang kini semakin menurun di samping kemasukan lembu dari negara jiran diharamkan. – HARAKAHDAILY 27/6/2021











