
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Idris Ahmad mencadangkan seluruh kementerian melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 seperti mana yang diusahakan beberapa kementerian baru-baru ini.
Menurutnya, budaya rasuah dalam organisasi di semua peringkat perlu dihapuskan untuk menjayakan objektif yang dirancang secara lebih efektif, selain diharapkan mendapat keredhaan Allah SWT dan ganjaran di akhirat kelak.
“Segala punca yang menjadi faktor berlakunya rasuah sama ada di peringkat atasan mahupun bawahan, perlu di atasi sebaiknya bukan sahaja melalui hukuman, bahkan menerusi kesedaran dan pendidikan yang berterusan.
“Justeru, saya mencadangkan agar semua kementerian turut melaksanakan OACP ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya yang juga Naib Presiden PAS, beliau yakin usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar rasuah adalah impian dan harapan setiap warga masyarakat Malaysia.
Khususnya buat mereka yang mahukan ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam seterusnya menghasilkan kestabilan dan kemakmuran negara, ujarnya.
Beliau dalam masa sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di atas inisiatif kementerian itu untuk melaksanakan OACP 2021-2025 yang telah dilancarkan pada 25 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 27/6/2021











