Warga emas ajak rakyat daftar suntik vaksin

Mustafa Yusof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Warga emas yang menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama generasi muda untuk mendaftar sebagai penerima vaksin itu.

Rata-rata mereka turut berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu, kerana petugas kesihatan yang terlibat akan memastikan penerima vaksin dalam keadaan baik dan vaksin itu telah disahkan selamat.

- Advertisement -

Malah mereka juga bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin sekali gus turut mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk memerangi penularan Covid-19.

Menurut salah seorang penerima suntikan vaksinasi, Mustafa Yusof, 66, berkata, beliau begitu teruja untuk menerima suntikan vaksin berkenaan malah meminta anaknya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Pakcik tak rasa takut nak cucuk, dalam rumah pakcik semua dah daftar vaksin. Kita ikut seruan kerajaan untuk sama-sama hindarkan diri daripada pandemik Covid-19.

“Jangan duk dengar cerita karut-karut yang disebarkan dan pakcik sendiri pun sering nasihatkan orang-orang kampung supaya datang suntik vaksin,” katanya selepas menerima suntikan itu di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Majlis Daerah Ketereh.

Zainab Abdul Rajab

Sementara itu, penerima, Zainab Abdul Rajab, 65, berkata, dia tidak berasa sakit atau lenguh-lenguh selepas menerima suntikan terbabit.

“Alhamdulillah setakat ini tak ada rasa sakit atau lenguh-lenguh, rasa macam kena suntik biasa sahaja. Perasaan rasa lega lepas dicucuk dan nasihat saya datang lah sebab kerajaan buat ini untuk kebaikkan kita semua bagi mengelak wabak Covid-19.

“Saya datang suntik hari ini ditemani anak, anak saya juga yang bertugas sebagai barisan hadapan tapi mereka telah divaksin sebelum ini, jadi boleh la mereka pantau kesihatan saya selepas ambil suntikan ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Marina Osman, 66, tinggal di Kubang Kerian meluahkan rasa teruja beliau bersama suaminya untuk menerima suntikan vaksin.

Malah katanya, salah seorang anaknya turut tidak sabar dan teruja bagi menerima suntikan vaksin meskipun anaknya itu adalah orang kelainan upaya (OKU).

“Memang saya excited sangat untuk datang cucuk vaksin. Alhamdulillah, selepas cucuk tak ada rasa apa-apa pun.

“Hari ini saya datang dengan suami saya, suami saya pun telah cucuk juga, cuma anak saya sorang lagi masih menungu giliran untuk datang cucuk, dia oku tapi dia sangat tak sabar nak datang terima suntikan vaksin.

“Nasihat saya, orang ramai janganlah takut, datang lah suntik sebab tak rasa apa pun,” katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini vaksin Covid-19 membuktikan ia selamat digunakan golongan warga emas termasuk yang mengalami masalah kesihatan dan komorbiditi. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -