Terlalu berpolitik sampai sanggup hina Agong

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jangan kerana terlalu berpolitik sehingga hilang rasa hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, lebih-lebih lagi ada yang sanggup menghina baginda dan institusinya.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata lebih malang tindakan berkenaan dilakukan orang Melayu sendiri.

“Ini memberi contoh yang tidak baik kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam, sedangkan Raja-raja Melayu untuk semua rakyat Malaysia.

“Berpolitik… berpolitik juga, ada adab yang perlu dijaga,” ujarnya yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan selepas mengagihkan peralatan ICT bagi kegunaan tambahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada 47 sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) secara pandu lalu di pekarangan Kompleks Pentadbiran Yik semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video yang memaparkan pemilik akaun bernama Iswardy Morni mengeluarkan kenyataan dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong seperti tular di media sosial.

Ekoran isu tersebut banyak pihak tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook terbabit yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak.

Mohamed Fadzli berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan tonggak negara.

“Jangan libatkan baginda dengan politik serta menghina Yang di-Pertuan Agong. Kami berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu  yang menghina baginda kerana ia satu kesalahan yang amat serius,” ujarnya.

Kata beliau, tindakan tegas itu diharap memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak berulang.

Sementara itu bantuan bagi fasa pertama itu melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi memudahkan pembelajaran secara PdPR. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -