
ALOR SETAR: Kerajaan mempersiapkan tiga premis masing-masing sebagai pusat rawatan dan pusat kuarantin, selain sewaan kontena sebagai peti mayat berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, Dewan Al-Farabi Kompleks Pendidikan Negeri di Jalan Stadium disediakan sebagai pusat rawatan yang menempatkan 40 katil.
Premis itu jelasnya, akan menjadi wad hospital, manakala Dewan Wawasan di Jitra akan dibaikpulih untuk menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) memuatkan 446 katil.
“Kos untuk membuat pembaikan, baik pulih Dewan Wawasan itu kita anggarkan lebih kurang RM1.2 juta termasuk menukar bumbung, menyediakan tandas dan juga memperbaiki air cond dewan tersebut.
“Selain daripada Dewan Wawasan yang telah diputuskan untuk dijadikan PKRC, kerajaan negeri memutuskan untuk berunding dengan Raiya Hotel untuk menggunakan Dewan Raiya Hotel sebagai PKRC.
“Kita akan menggunapakai Ordinan Darurat bagi kita mendapatkan apa-apa bangunan dan premis yang menjadi keperluan kepada kerajaan untuk menghadapi pandemik COVID-19.
“Oleh kerana kita tak ada dah dewan yang besar, macam Dewan Wawasan yang memerlukan masa untuk kerja-kerja baik pulih, kita akan berurusan dengan Dewan Raiya Hotel di Alor Setar ini,” ujarnya.
Kerajaan negeri maklumnya, telah membuat keputusan untuk membelanjakan wang kerajaan bagi membaiki Dewan Wawasan di samping cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah membuat satu keputusan yang besar untuk mengeluarkan perbelanjaan kerajaan negeri kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan ujian saringan bersasar yang lebih dipergiatkan
Jelas beliau, kerajaan menganggarkan keupayaan makmal swasta dan kakitangan kesihatan untuk melaksanakan swab test membolehkan pertambahan lagi 200 hingga 300 saringan dilakukan sehari.
Terang beliau, proses tersebut akan mengambil masa dua minggu untuk membuat swab test di sasaran-sasaran yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
“Kos untuk pembiayaan ujian swab test dan juga makmal yang akan dikendalikan oleh klinik-klinik swasta ini dianggarkan antara RM350,000 sehingga RM400,000 untuk dua minggu. Ini kerajaan negeri akan biayai sepenuhnya.
“Kerajaan negeri juga bagi menghadapi PKP3.0 telah membuat keputusan menyediakan 15,000 bakul makanan, 6,000 bakul daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Kerajaan Persekutuan, 9,000 bakul makanan kerajaan negeri, yang akan diagihkan ke semua 12 PKOB (Pusat Khidmat Operasi Bencana).
“Proses agihan akan dibincangkan di peringkat PKOB bersama dengan Pusat-pusat Khidmat ADUN dan Ahli Parlimen,” jelasnya pada sidang media hari ini secara atas talian.
Lembaga Zakat Negeri Kedah juga maklumnya akan menyediakan sumbangan beras ke semua PKOB, selain dibekalkan RM50,000 bagi keperluan khas seperti susu bayi, lampin pakai buang dan seumpamanya.
Kerajaan juga katanya, memutuskan pemberian moratorium selama satu bulan kepada penyewa-penyewa premis kerajaan sama ada premis perniagaan atau kediaman ataupun rumah.
“Yang ketiga ialah menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dengan jumlah maksimum RM5,000 setiap peminjam. Setiap PKOB dibekalkan dana RM10,000 untuk keperluan petugas-petugas makan minum bagi dua minggu ini.
“Jumlah keseluruhan RM70,210 untuk semua PKOB. Bagi semua bakul makanan yang kita sediakan tadi berjumlah RM2.89 juta dan moratorium dijangkakan melibatkan RM500,000.
“Kekurangan atau kehilangan hasil akibat daripada penutupan kaunter-kaunter utama yang memberi hasil ataupun membuat kutipan bagi pihak kerajaan negeri dijangka kita kehilangan hasil RM10.8 juta untuk dua minggu ini.
“Semua perbelanjaan dan kehilangan hasil tadi telah dijumlahkan sekitar RM11.64 juta,” bentangnya hasil dari Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang juga dijalankan secara atas talian sebelum itu.
Maklum Sanusi lagi, kontena jenazah sebagai peti simpanan mayat akan ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah berikutan peti sedia ada hanya mampu menampung 18 mayat.
“Tapi oleh kerana berlaku peningkatanlah kematian di Alor Setar ini kita perlu kepada kontena untuk 6 bulan inilah, kos untuk sewa kontena itu RM48,000 untuk 6 bulan ini.
“Dalam perancangan HSB sekiranya 18 peti mayat itu tak dapat menambung kematian semasa, buat masa sekarang ini masih dapat ditampunglah, kalau berlaku peningkatan kadar kematian, dan pengurusan jenazah yang lebih.
“Petugas pun agak terhad, kerana petugas untuk mengendalikan jenazah pesakit COVID agak rumit, memerlukan petugas yang terlatih, dan juga kelengkapan PPE yang sesuai, maka proses ini agak lambat. Jadi body storage di hospital itu kadang-kadang penuh.
“Jadi kalau ada keperluan memang kita bersedia untuk sewalah kontena ini. Pada masa buat masa sekarang ini masih dapat ditampung lagi,” jelasnya menjawab pertanyaan media. – HARAKAHDAILY 31/5/2021











