Jalan sekitar Penjara Alor Setar ditutup

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kawasan Penjara Alor Setar termasuk kuarters kakitangannya dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran selama 14 hari bermula hari ini.

Tindakan itu berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit yang berpunca daripada kluster Tembok.

- Advertisement -

Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPDB bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

Katanya kawalan juga dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPDB sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan berkenaan termasuk lawatan keluarga tahanan tidak dibenarkan,” kata beliau di Kuala Lumpur semalam.

Semalam kluster Tembok mencatatkan 112 kes positif melibatkan 111 warga negara dan satu bukan warga negara.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Ibu Pejabat Polis Kota Setar memaklumkan beberapa jalan ditutup ekoran pelaksanaan PKPDB sehingga 18 Oktober ini.

Antaranya persimpangan lampu isyarat Hospital Lama (Lebuh Raya Sultanah dan Lebuhraya Darul Aman), laluan dari arah Taman Pandan/Shahab Perdana ke Tol Utara.

Laluan dari Pantai Johor susur kiri ke Tol Utara, laluan dari arah stadium membelok ke kanan ke arah tol, laluan Lebuhraya Sultanah depan Penjara Alor Setar dan persimpangan lampu isyarat Alor Semadong. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -