Menjadi teladan dari setiap yang didakwahkan

- Advertisement -

MAJORITI asatizah-asatizah yang saya kenal, alhamdulilah mereka ini sama ada di media sosial atau di dalam kehidupan sebenar, mereka amalkan agama. Yakni mereka mengamalkan apa yang mereka ajar kepada masyarakat. Ya, majoriti bagus dan baik!

- Advertisement -

Saya menulis ini bukan untuk memburukkan asatizah atau agamawan tetapi ingin memberitahu kepada wanita di luar dan masyarakat di luar bahawa bukan semua agamawan begitu. Majoriti mereka bagus tetapi seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.

Majoriti agamawan tidak menggunakan agama untuk kepentingan dan kerakusan diri. Segelintir yang berperwatakan agama, berlatarbelakangkan agama serta berhujahkan agama sanggup menipu masyarakat demi kepentingan diri mereka dan juga menutup nafsu serakah mereka yang tidak mematuhi syariah Islam.

Sebab itu sering saya ingatkan diri saya dan masyarakat, berperwatakan agama tidak membuktikan perbuatan atau percakapan mereka pasti benar. Benar atau salah perbuatan atau percakapan seseorang adalah berdasarkan dalil dan hujahnya. 

Sahabat semua, jangan kerana ada segelintir agamawan atau mereka yang berperwatakan begini menyebabkan menolak semua atau majoriti agamawan. Saya tegaskan, majoriti agamawan adalah bagus dan baik. Ini bukan membuka ruang untuk Liberal menyerang kita tetapi membuktikan betapa telusnya kita Muslim dalam amar makruf nahi mungkar.

Memang ada segelintir agamawan atau yang berperwatakan agama dan agamawan akan bersikap double standard apabila rakan mereka yang terkena, mereka akan mendiamkan diri atau menyembunyikan perbuatan rakan mereka. Bila kena pada orang lain yang bukan kenalan mereka, barangkali mereka orang pertama melompat dan mengkritik.

Namun ada segelintir memang boleh dikategorikan menyalahguna agama. Luar lain, di rumah lain. Di depan kamera lain, habis shooting perangai lain sehinggakan pernah ada krew produksi pernah berkata dengan saya;

Krew: “Eh bro, Ustaz *** ini dahsyat ya?”

Saya: “Maksud kamu dahsyat?”

Krew: “Masa shooting depan kamera, ya Allah pijak semut tak mati. Suruh orang jaga adab dan akhlak. Habis shooting, perkataan yang keluar dari mulut dia, tak boleh imagine someone like him cakap begitu.”

Minggu lepas saya dihubungi oleh seorang wanita yang juga isteri kepada seorang Ustaz ini. Kebiasaannya dalam kes aduan begini, saya tidak akan percaya bulat-bulat dan akan bertanya soalan untuk mendapatkan kepastian. Soalan yang saya tanya pula bukan soalan biasa tetapi soalan yang agresif untuk mendapatkan kepastian.

Saya akan meminta kronologi kejadian, bukti kejadian malahan laporan polis serta laporan perubatan dari hospital andai kes dipukul. Semua yang saya minta telah diberikan oleh wanita ini. Laporan polis, laporan dari hospital kesan dari dipukul si suami yang bergelar Ustaz. Bila disebut nama Ustaz itu saya tak berapa kenal tetapi macam pernah dengar namanya.

Bila saya check, ok. Tahu siapa tetapi tak kenal sangat. Pernah masuk TV dan saya tonton beberapa ceramahnya di Facebook dan YouTube. Dalam video, wow, ceramahnya lembut, tutur katanya baik, pesanannya bagus, satu keperibadian yang sungguh jauh berbeza dari laporan polis serta bukti video-video yang dikongsikan dengan saya.

Bukan sahaja isterinya dipukul dan dimaki hamun, Ustaz ini juga menghantar mesej kepada berpuluh wanita bukan mahram untuk berkenalan malahan sanggup mengaku dirinya duda! Ustaz ini juga menghantar video lucah dirinya kepada wanita bukan mahram! Astaghfirullah...

Apabila saya menyiasat mengenai Ustaz ini, rupa-rupanya ini bukan kali pertama beliau memukul isteri. Dia memang mempunyai sejarah yang hampir sama. Bila saya tanya kepada wanita ini, apakah Ustaz ini pernah buat perkara tak senonoh kepadanya sebelum mereka bernikah dan dia menjawab ada.

Kemudian saya tanya lagi, adakah dia menceritakan kepada sesiapa untuk mendapatkan bantuan apabila Ustaz tersebut memukulnya dan buat benda tak senonoh dengan wanita bukan mahram setelah bernikah dengannya? Beliau menjawab;

“Saya cuba cerita dengan ustaz-ustaz lain tetapi mereka tak percaya kerana perwatakannya di luar rumah dan di rumah jauh berbeza. Mereka langsung tak nak tengok bukti yang saya ada sebelum decide. Lagipun dia ustaz dan saya orang biasa.”

Kami di Multiracial Reverted Muslims – MRM telah mendapatkan khidmat guaman bagi membantu wanita ini untuk keluar dari permasalahan yang dihadapinya. Ustaz ini memfailkan cerai di negeri mereka bermastautin kerana dikatakan beliau agak popular di negeri tersebut dan mahu memfailkan di negeri lain.

Saya perasan, lelaki yang dayus ini agak mengugut pasangan mereka dan malahan akan menyulitkan penceraian yang menyebabkan wanita tersebut digantung tidak bertali. Andai sudah tidak cinta lagi dan hanya memukul serta memaki hamun, kenapa masih tidak mahu melepaskan mereka? Tidak lain kerana ego yang tak berpenghujung.

Kita tidak seperti Liberal yang apabila terkena pada geng mereka dalam kes salah laku seks, rogol dan kezaliman yang lain, mereka diamkan tetapi bila kena pada Muslim atau agamawan, mereka pom pang kecoh bagi nak kiamat. Kita sebagai Muslim, prinsip keadilan ditegakkan. 

Amar makruf dan nahi mungkar walaupun pada diri sendiri dan kenalan kita. Tidak double standard. Kita perlu berpegang kepada prinsip dan standard Islam yang tinggi dalam kehidupan. Hak wanita terjaga dan kami di MRM dengan kerjasama yang telah terjalin dengan NGO-NGO lain agar berusaha sebaik mungkin untuk membantu mereka yang teraniaya. Esok saya akan update pula kisah seorang wanita yang juga dipukul pasangannya.

Jikalau anda memerlukan bantuan dan berada di dalam rumahtangga bermasalah seperti ini, sila hubungi Bro Azim https://wasap.my/601110500414 untuk kami membantu secara percuma! 

*Identiti akan dirahsiakan melainkan anda memberi izin untuk kami kongsikan identiti anda.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 28/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -