Penderaan kanak-kanak dan keganasan rumahtangga, di manakah akhirnya?

Ilustrasi dari Google
- Advertisement -

Mengenali Kes-Kes OSCC dan Peranannya

SERINGKALI kita melihat dan mendengar melalui media sosial berkaitan dengan kes-kes penderaan rumah tangga dan penganiayaan kanak-kanak.

Perkara ini bukan perkara baru malah semakin menjadi-jadi sementelah musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemic Covid-19.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh bahagian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sebanyak 1,929 aduan berkaitan kes keganasan rumah tangga semenjak PKP (18 Mac 2020) yang lalu.

Jadi siapakah yang perlu dipersalahkan? Kenapa semua ini boleh terjadi? Apakah tindakan yang boleh diambil bagi memberi kesedaran kepada si pemangsa? Atau adakah badan-badan tertentu atau akta-akta yang boleh digunakan untuk membantu mangsa bagi mencegah perkara ini daripada terus bemaharajalela?

- Advertisement -

Tidak dapat dinafikan kebanyakan masyarakat terutama mangsa tidak mengetahui apakah hak-hak mereka, siapa yang perlu dirujuk dan bagaimana cara terbaik jika mereka adalah mangsa penderaan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga.

Ini menjadikan mereka terus-menerus terpaksa menghadapi penyeksaan tersebut berulang kali. Jika mangsa adalah kanak-kanak seharusnya yang perlu tampil ke hadapan adalah penjaga atau saudara mara terdekat atau jiran tetangga.

Sanggupkah kita saban hari melihat atau mendengar perkara ini berleluasa sehingga melibatkan kehilangan nyawa? Tentu sekali tidak! Kerana kita masih ada nilai-nilai kemanusiaan dalam diri.

Bagi mangsa yang hadir ke hospital untuk tujuan rawatan berkaitan dengan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, anda akan dirawat di bawah satu pusat bersepadu yang dinamakan OSCC (One Stop Crisis Centre).

OSCC adalah tempat di mana suatu perkhidmatan berintegrasi dan bersepadu oleh pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam mengendalikan kes-kes penderaan dan jenayah seksual (kanak-kanak dan dewasa).

Dengan kata, lain mangsa akan ditempatkan di bilik khas dan doktor akan memberi rawatan di dalam bilik ini.

OSCC diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kecemasan di setiap hospital di Malaysia. Bilik OSCC ini biasanya agak tercorot sedikit daripada pesakit umum untuk memberikan tanda privasi kepada mangsa OSCC.

Kes-kes yang dirawat di bawah OSCC merangkumi kes keganasan rumah tangga, kes penderaan seksual merangkumi rogol dan liwat serta penderaan kanak-kanak.

Semua perawat yang dirujuk sama ada badan kerajaan atau bukan kerajaan akan datang ke bilik ini tanpa perlu pesakit bergerak ke mana-mana bagi mendapatkan rawatan.

Pengurusan kes seterusnya berkemungkinan mangsa memerlukan rawatan selanjutnya di wad atau diberi tarikh janji temu atau perlu diberi perlindungan di tempat yang selamat.

Pelbagai keadaan mangsa mendapatkan rawatan di hospital. Sama ada mangsa datang sendiri menyerah diri atau dibawa oleh agensi-agensi tertentu atau jiran-jiran.

Jika kes ini menepati definisi kes-kes OSCC dan pesakit adalah stabil maka pihak hospital akan terus meletakkan mangsa di dalam bilik OSCC bagi proses perawatan yang seterusnya.

Namun, jika pesakit tidak stabil seperti mendapat pendarahan organ dalaman akibat ditentang atau dirogol atau diliwat, patah tulang belulang, semput, tekanan darah rendah dan pelbagai keadaan lagi, pesakit ini akan dirawat dan distabilkan dahulu di Jabatan Kecemasan seperti kes-kes yang lain dan proses OSCC ini akan dijalankan selepas pesakit stabil.

Siapa yang akan merawat pesakit ini dan apakah agensi-agensi yang terlibat?

Bagi mangsa yang stabil dan terus dibawa ke bilik OSCC, doktor pertama yang akan merawat mangsa adalah doktor dari Jabatan Kecemasan.

Doktor ini akan bertanyakan cerita yang berkaitan tujuan kedatangan dan sejarah berkaitan serta melakukan pemeriksaan luaran. Bagi tujuan pemeriksaan yang lebih teliti ianya bergantung kepada kes.

Laporan polis dibuat juga bergantung kepada kes. Jika mangsa keganasan rumah tangga datang dan bertujuan supaya kes dibawa ke muka pengadilan, maka laporan polis perlu dilakukan oleh mangsa.

Jika mangsa kanak-kanak, kebanyakan kes yang melibatkan penderaan kanak-kanak memerlukan laporan polis yang dibuat oleh doktor yang merawat atau penjaga.

Jika mangsa datang dengan masalah keganasan rumah tangga, jabatan yang akan dirujuk adalah Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP).

Jabatan Kerja Sosial Perubatan ini adalah sebagai penghubung kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai pelindung kepada mangsa.

Jika mangsa tiada tempat perlindungan yang selamat atau memerlukan perintah perlindungan, maka Jabatan Kebajikan Masyarakat akan dilibatkan dengan kadar segera.

Jika doktor yang merawat merasakan mangsa berada dalam tekanan emosi maka kaunselor atau psikiatrik doktor akan dirujuk. Jika melibatkan kepatahan tulang, doktor di bahagian ortopedik (tulang) akan dirujuk.

Manakala jika melibatkan kes rogol, doktor bahagian sakit puan akan dilibatkan dan jika kes tersebut adalah kes liwat, doktor bahagian pembedahan akan dilibatkan.

Jika mangsa adalah kanak-kanak tidak mengira kes aduan, kes diwajibkan untuk dirujuk kepada SCAN team. SCAN Team ialah Suspected Child Abuse and Neglected Team yang terdiri daripada perawat bahagian kanak-kanak, sakit puan, kaunselor, psikiatrik, pembedahan, forensik, polis, Jabatan Kerja Sosial Perubatan, JKM dan lain-lain serta penglibatan mereka ini bergantung kepada kes.

Oleh kerana kanak-kanak ini masih kecil dan belum matang, maka penjagaan sementara adalah kepada perawat jika penjaga yang asal merupakan pemangsa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertindak sebagai pelindung mangsa.

Fungsi OSCC ini bukan hanya berhenti di hospital sahaja. OSCC menekankan 3 prinsip utama dalam menangani kes-kes yang datang iaitu:
1) Rawatan awal
2) Temujanji
3) Rehabilitasi

Bagi Rawatan awal adalah seperti yang telah diterangkan pada perenggan di atas, iaitu pesakit yang stabil akan dirawat di bilik OSCC manakala kes yang separa atau tidak stabil akan dilihat di zon kuning atau zon merah dan dirawat selayaknya.

Temujanji akan diberi dan kes akan difollow up sehingga mencapai penyelesaian yang sepatutnya sehingga peringkat rehabilitasi.

Rehabilitasi dalam konteks OSCC adalah selepas segala-gala terjadi dan mangsa mengalami trauma dari segi emosi dan fizikal, mangsa boleh menjalani kehidupan seperti sediakala atau lebih baik lagi.

Proses rehabilitasi ini tidak akan dapat dicapai jika tiada kerjasama daripada semua pihak dalam menangani kes-kes berkaitan OSCC.

Contoh mudah yang saya boleh ketengahkan di sini adalah seperti berikut:
Seorang remaja wanita berumur 15 tahun mengandung anak luar nikah kerana dirogol oleh orang yang tidak dikenali. Mangsa dibawa oleh ibunya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Doktor yang merawat akan membuka fail OSCC bagi mangsa dan mengambil sejarah atau cerita berkaitan dan membuat pemeriksaan.

Oleh kerana mangsa adalah di bawah umur dan kes rogol maka laporan polis perlu dilakukan sama ada oleh doktor atau keluarga mangsa. Mangsa akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, SCAN Team, Doktor Sakit Puan, Psikiatrik/Kaunselor. Mangsa akan dimasukkan ke wad atau diberi tarikh temujanji bergantung kepada diskusi antara jabatan yang dirujuk dan keadaan mangsa pada waktu itu.

Di sinilah pentingnya kerjasama antara jabatan untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat penjagaan yang baik semasa mengandung dari segi fizikal dan emosi.

Proses kelahiran perlu dirancang dan siapa yang akan menjaga anak yang bakal dilahirkan serta mangsa perlu meneruskan pengajiannya demi masa hadapan.

Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertindak sebagai pelindung mangsa sangat penting semasa proses rehabilitasi ini.

Jadi jika anda sebagai mangsa atau mengiringi mangsa ke hospital, anda perlu memastikan diri anda atau mangsa yang anda iringi telah dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebagai mangsa dan individu dalam masyarakat, kita seharusnya peka terhadap hak kita sebagai individu, ahli dalam keluarga, sebagai anak dan sebagai isteri.

Jangan malu untuk tampil ke hadapan dan mendapatkan bantuan demi masa depan kita, anak-anak, keluarga dan masyarakat kita.

Dengan adanya kerjasama daripada semua kita harapkan masalah keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak ini dapat dibendung dan diadili dengan seadil-adilnya.

>>> DR AZIRAWATI ISMAIL adalah Pakar Perubatan Kecemasan UD54 dan Penyelaras OSCC Hospital Raja Perempuan Zainab IIHARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -