Usah risau bekalan vaksin disedia kerajaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masyarakat perlu kesedaran kawalan kendiri yang tinggi dan menganggap setiap mereka sebagai orang yang bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, langkah itu penting dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19.

- Advertisement -

Katanya kesedaran itu merupakan satu langkah mudah untuk masyarakat mengingati supaya mereka sentiasa patuh SOP.

“Setiap hari saya catat di media sosial tubik rumah pakai mask (pelitup), kelik (balik) rumah basuh tangan.

“Pesanan dengan ayat mudah itu dikongsikan di Facebook saya, dan didapati mendapat sambutan yang menggalakkan daripada netizen yang turut berkongsi ayat tersebut di Facebook masing-masing.

“Kongsikan sahaja supaya ia mendapat manfaat kepada seluruh masyarakat. Sama-sama kita kena lawan Covid-19, putuskan rangkaian dan kembali hijau seperti sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dr Izani yakin usaha yang dilakukan itu mendapat kerjasama setiap lapisan masyarakat bagi mematuhi dan mendengar arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Menurutnya juga Kelantan masih lagi mencatatkan kes jangkitan yang tinggi dan sebanyak 13 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di negeri itu.

Kata beliau yang terbaharu PKRC iaitu Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjung Chat.

Beliau juga berharap rakyat Kelantan mendaftar untuk menerima vaksinasi dan mereka tidak perlu risau dengan jumlah bekalan vaksin yang disediakan.

“Insya-Allah vaksin akan sampai dalam jumlah yang banyak dan program vaksinasi akan dibuat secara besar-besaran,” katanya.

Baru-baru ini Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memberitahu sebanyak 40,000 dos vaksin jenis Sinovac bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan tiba di Kelantan.

Bekalan vaksin itu difahamkan akan diterima dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -