Penularan Covid-19: Pastikan anak berada rumah

- Advertisement -

PENDANG: Ibu bapa diminta memain peranan bagi memastikan anak masing-masing kekal berada di rumah berikutan kes penularan wabak Covid-19 di tahap agak membimbangkan sekarang.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, sekarang terdapat lebih 48,000 kes Covid-19 di seluruh Malaysia melibatkan kanak-kanak.

- Advertisement -

“Perkara itu amat dirisaukan dan perlu diberi perhatian serius,” ujar beliau di sini.

Beliau berkata, ibu bapa jangan membiarkan kanak-kanak berkeliaran di tempat-tempat awam, pusat membeli belah, pasar raya dan padang permainan.

Selain itu guru-guru dicadang membuat olahan yang dapat menarik perhatian pelajar terutama melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) supaya mereka tidak jemu kerana terlalu lama mengadap komputer atau gajet.

“Buatlah sesuatu yang boleh menarik perhatian pelajar agar mereka tidak cepat bosan dan lebih memokuskan pembelajaran dan terus berada di rumah,” tambahnya.

Dr Mohd Hayati juga berkata, wajar dipertimbangkan supaya kanak-kanak layak menerima vaksin Covid-19 sebagaimana dilaksanakan di sesetengah negara sekarang.

Menurutnya sesetengah negara sudah memberi kebenaran mereka yang berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin.

“Di Malaysia pun rasanya amat wajar usaha ke arah itu,” katanya yang juga Adun Tokai.

Malah sebelum ini Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan ibu bapa tidak membawa kanak-kanak ke tempat awam dan pasar raya untuk mengelak berlaku jangkitan dalam kalangan mereka.

Dr Mohd Hayati turut kesal terhadap sikap segelintir masyarakat yang mudah mempercayai berita atau kenyataan palsu kononnya kesan menerima vaksin Covid-19 akan menyebabkan kematian.

Sebaliknya kata beliau mati disebabkan positif Covid-19 ramai namun meninggal dunia disebabkan dicucuk vaksin belum ada lagi.

Semalam Kedah mencatatkan 542 kes positif Covid di mana ia merupakan paling tertinggi setakat ini. Selain itu dilaporkan 10,827 orang gagal hadir untuk menerima suntikan vaksin di Kedah. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -