Nak tunggu pil boleh bunuh virus COVID-19?

- Advertisement -

TERDAPAT pula artikel yang cuba mempengaruhi masyarakat supaya tidak mengambil vaksin dan mempengaruhi masyarakat supaya tunggu ubat pil untuk membunuh virus COVID-19. Katanya ubat itu sudah pun dalam proses untuk kelulusan.

Di sini masyarakat kena faham beza di antara mencegah dengan merawat. Vaksin adalah mencegah kita dijangkiti oleh COVID-19. Manakala ubat pil dan seumpamanya adalah digunakan untuk merawat setelah kita dijangkiti. Takkan kita sanggup diri kita ini terdedah dijangkiti oleh COVID-19 dahulu, baru kita nak terhegeh-hegeh makan ubat?

Adalah lebih baik kita berusaha dari awal dengan mengambil vaksin yang telah pun terbukti untuk mencegah diri kita dijangkiti. Andai kata kita dijangkiti pun ianya tidak teruk. Inilah salah satu ikhtiar untuk diri kita agar tidak dijangkiti oleh COVID-19.

- Advertisement -

Vaksin itu bukan ubat untuk membunuh virus. Vaksin adalah bahan untuk mencegah diri kita dijangkiti oleh COVID-19. Ianya telah pun terbukti melalui kajian bahawa berkesan untuk mencegah diri kita dijangkiti COVID-19.

Manakala ubat untuk membunuh virus dinamakan antivirus. Sekarang ini terdapat satu jenis antivirus yang digunakan untuk pesakit yang teruk diserang COVID-19. Namanya Remdisivir. Ubat ini sebenarnya telah lama digunakan untuk membunuh virus ke atas pesakit positif COVID-19. Ubat ini hanya digunakan di hospital dan kaedah mengambilnya melalui salur darah (Intravena). Kajian mendapati bahawa pesakit yang telah diberikan Remdesivir ini kurang teruk serangan berbanding dengan pesakit yang tidak diberikan. Maknanya antivirus ini boleh membantu untuk mengurangkan keseriusan jangkitan COVID-19 ke atas pesakit zon kritikal hospital. Tetapi ianya tidak pun membunuh sepenuhnya COVID-19. Buat masa ini tidak ada lagi ubat bentuk pil untuk membunuh virus COVID-19. 

Satu lagi ubat yang masih baharu bermula penerokaannya dari Mac 2020 lalu iaitu Molnupiravir. Ianya keluaran Pfizer, syarikat yang sama mengeluarkan vaksin. Dua lagi syarikat lain yang juga dalam proses mengkaji ubat Molnupiravir itu iaitu Merck and Roche. 

Ilmu perubatan sentiasa berubah, ia tidak statik. Dari masa ke semasa akan ditambah nilai dan tambah baik berdasarkan kepada kajian yang terbaharu. Jika sekiranya ianya benar-benar boleh membunuh virus apa salahnya kita menggunakannya nanti. Tetapi sebelum semuanya itu berjaya selepas melepasi kajian-kajian, apa salahnya juga kita mengambil vaksin yang sudah berada dalam pasaran?

Jangkaan pakar mendapati jumlah kes kematian seluruh dunia akan mencecah 3.5 juta orang jika kita tidak mengambil sikap pro-aktif dari sekarang dengan apa sahaja ikhtiar yang disyorkan. Sikap tunggu dan lihat itu adalah sikap yang tidak betul. Takkanlah kita nak melihat rakan taulan kita satu persatu tumbang dan akhirnya diri kita sendiri tumbang akibat COVID-19? (Mohon dijauhi) Semata-mata ingin menunggu pil pembunuh virus yang belum tentu pun berjaya atau tidak!

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 27/5/2021

Pautan:

[1] John H. Beigel, M.D., Kay M. Tomashek, M.D., M.P.H., Lori E. Dodd, Ph.D., et al. Remdesivir for the Treatment of Covid-19 — Final Report. N Engl J Med 2020; 383:1813-1826. November 5, 2020.
DOI: 10.1056/NEJMoa2007764

[2] COVID-19 Treatment Guidelines Panel. Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) Treatment Guidelines. National Institutes of Health. April 21, 2021.

[3] Deena Beasley. The race to find a COVID-19 treatment pill. Reuters Online. May 21, 2021.

- Advertisement -