
KUALA LUMPUR: Semua pihak sepatutnya berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin Covid-19, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, ini kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran.
Beliau memetik ayat 172 dan 173 daripada Surah Al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada sumber-sumber yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kalian, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kalian hanya beribadat kepadanya. (172); Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kalian memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka, sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Jelasnya, para ulama’ maqasid al-syari‘ah menyenaraikan mengikut tertib keperluan hidup manusia yang wajib dijaga iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, serta menjaga harta.
Tambah beliau, ayat yang disebutkan di atas meletakkan peranan agama bagi menentukan hukum, bahawa menjaga nyawa itu hendaklah diutamakan melebihi perkara-perkara yang lain sehingga dihalalkan perkara yang haram, semata-mata ingin menjaga nyawa termasuklah darurat dari sudut perubatan.
“Bahkan pada masa inilah, undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum, khususnya pengamal media yang menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana seperti hari ini termasuklah agamawan yang menyanggah pelaksanaan perintah kuarantin, SOP dan pengambilan vaksin sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam,” jelas beliau.
Katanya, Malaysia bertindak menangani penularan wabak Covid-19 dengan menyediakan kumpulan barisan hadapan, yang terdiri daripada pasukan perubatan sehinggalah pasukan polis dan tentera.
Tambanya, oleh kerana wujud perubahan perkembangan wabak dari semasa ke semasa di seluruh dunia, maka tindakan susulan dan perubahan tertentu terpaksa dilakukan bagi membendung situasi terkini.
Sepatutnya, kata beliau ketika tempoh darurat kesihatan, seluruh rakyat bersatu padu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan politik, kerana wabak ini tidak mengenal siapa mangsanya.
“Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan berita tersebut.
“Kini, bukan masanya untuk kita berdebat mencari kesalahan dan kelemahan kerana bentuk serangan wabak yang sedang dihadapi hari ini sudah berubah,” ujarnya dalam satu tulisan bertajuk ‘Bencana Wabak Dan Dilema Dalam Menanganinya’ di laman Facebook beliau, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/5/2021











