SOP berubah ikut kesesuaian, saranan KKM, pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perubahan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa diyakini adalah untuk mengikut kesesuaian situasi semasa serta saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar-pakar.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam, SOP yang diperkenalkan bukan sekadar suka-suka atau tanpa sebab, namun ia adalah mengikut saranan golongan profesional dan sebagainya.

Jelasnya, virus Covid-19 tidak statik cara penularannya, ia bahkan mempunyai pelabagi jenis varian mengikut sesuatu tempat dan berubah-ubah dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

Justeru itu beliau berharap agar rakyat dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dan diperkenalkan serta belajar untuk menerima perubahan tersebut.

“Kita ikut sahaja sebab saranan SOP itu bukan suka-suka. Perubahan yang MKN (Majlis Keselamatan Negara) buat itu mengikut nasihat daripada KKM, daripada pakar dan sebagainya.

“Virus Covid-19 dia unik, berubah-ubah, dia bukan seperti dahulu, varian pun dah bertukar-tukar. Jadi SOP itu memang kita kena belajar untuk fleksibel dari semasa ke semasa.

“Nasihat saya, ikut sahaja arahan daripada pihak berkenaan dan MKN,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan orang ramai tidak menguar-uarkan berita atau maklumat yang tidak sahih dan tidak matang bagi mengelakkan salah faham orang ramai berhubung SOP dan Covid-19.

Beliau malah menasihatkan supaya rakyat tidak bergurau mengenainya kerana dibimbangi mencetuskan kekeliruan, apatah lagi melibatkan nyawa.

“Kita perlu menjadi rakyat yang bertanggungjawb, iaitu pertamanya bertanggungjawab dengan self lockdown. Kemudian, sebarkan berita yang betul, seterusnya menjaga kebajikan sesama masyarakat tanpa amalan ziarah-menziarahi,” kata beliau.

Mengulas berhubung self lockdown kata Dr Rosni, beliau menyokong penuh kempen tersebut dan menganggap ia sebagai satu alat untuk kerajaan menerapkan sikap disiplin diri terhadap rakyat dalam masa sama mengawal pergerakan rakyat.

Kata beliau, tindakan kerajaan untuk tidak melaksanakan semula total lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 adalah difahami memandangkan kerajaan perlu seimbangkan kedua-dua aspek yang penting, iaitu ekonomi dan kesihatan dalam masa sama.

Malah kata Dr Rosni, tindakan kerajaan menjalankan kempen itu akan membantu mengurangkan tekanan kepada peniaga-peniaga kecil, mereka yang bergantung kepada pendapatan harian, dalam masa sama menyelamatkan pekerja daripada dibuang kerja.

“Sedikit sebanyak aktiviti ekonomi boleh dilaksanakan dengan SOP yang ketat, sebab kita kena seimbangkan sebenarnya, memang kalau dapat buat total lockdown bagus, tapi dari segi ekonomi tidak berapa bagus, kita kena seimbangkan juga.

‘Ini untuk menjaga kebajikan rakyat, sekurang-kurangnya. Malah total lockdown juga akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang sangat banyak dan pertumbuhan ekonomi menguncup.

“Untuk dapatkan ekonomi seperti sedia kala memakan masa bertahun-tahun, itu antara sebabnya. Kita pun taknak menyusahakan, kalau buat total lockdown, yang akan sengsara rakyat juga.

Self lockdown itu sangat berpatutan, kalau tidak ada perkara yang mustahak, tidak perlu keluar rumah, ikutlah arahan yang diberikan.

Self lockdown ini tujuannya supaya rakyat tidak keluar, pergerakan rakyat di luar rumah itu tidak banyak dan tentunya ia memerlukan kerjasama daripada rakyat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -