
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memahami bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’ biarpun dilaksanakan sepenuhnya masih belum dapat menyelesaikan ancaman COVID-19 secara menyeluruh.
Pengurus Bahagian Penyebaran Maklumat (IDD) Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Ts Shahronizam Noordin berkata, hakikatnya semua perlu berada dalam situasi kehidupan norma baharu ini.
Jelas beliau, ‘lockdown’ boleh diguna sebagai satu langkah membendung, tetapi perlu dipasakkan kefahaman bahawa jangkitan tetap akan kembali semula selagi vaksinasi 80 peratus populasi belum tercapai.
Iaitu terangnya, selagi tidak wujud imuniti kelompok rakyat akan masih hidup dengan PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD) yang akan diumumkan dari masa ke semasa.
“Sebahagian besar rakyat mungkin berfikir dengan melaksanakan ‘lockdown’ isu COVID-19 boleh diselesaikan sepenuhnya. Namun hakikatnya tindakan tersebut adalah untuk memutus rantaian yang akan mengurangkan bilangan jangkitan.
“Ia adalah untuk memastikan kapasiti hospital seperti Unit Rawatan Rapi (ICU) wad, bilik kuarantin, klinik, makmal, ‘manpower‘, ‘manhour‘ dan lain-lain mampu menerima pesakit. Tetapi untuk selesaikan isu COVID-19 secara keseluruhan masih belum!
“Bilakah dunia akan kembali normal? Jika diikutkan kiraan berdasarkan 75 peratus populasi manusia divaksinkan, mungkin ia mengambil masa sehingga tujuh tahun sebagaimana menurut Bloomberg tahun lalu.
“Namun bagi sesetengah negara kadar vaksinasi 75 peratus populasi rakyatnya mungkin lebih cepat, contoh negara haram Zionis Israel sudah pun melebihi 70 peratus vaksinasi.
“Malaysia sendiri meletakkan sasaran imuniti kelompok 80 peratus. Yang sudah mendaftar lebih kurang 10.2 juta iaitu 33 peratus dan sudah divaksinkan baharu sekitar 1.2 juta iaitu 4 peratus dari penduduk Malaysia,” ujar teknologis profesional ini.
Setakat ini, hanya penduduk Putrajaya mencapai 100 peratus pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan hanya empat lainnya iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Sarawak dan Selangor melebihi 50 peratus.
Manakala negeri-negeri lain masih di bawah 50 peratus dengan Sabah paling sedikit iaitu 16.89 peratus. – HARAKAHDAILY 20/5/2021











