Politiking tidak bantu turun jangkitan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sebarang agenda politiking berhubung peningkatan kes positif Covid-19 yang dicatatkan di negeri Selangor.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, keselamatan dan nyawa rakyat perlu diutamakan meskipun setiap negeri berlainan parti yang memerintah.

“Walau berbeza negeri tetapi satu daratan bumi yang sama, semua terdedah dengan risiko yang sama jadi cukup-cukuplah berpolitiking, kesejahteraan hidup rakyat mesti diutamakan,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, perkara ini perlu dibincang serta diperhalusi dengan baik sebelum membuat sebarang keputusan yang akan memberi kesan kepada keselamatan rakyat di negeri berkenaan kelak.

“Semua pihak perlu bersatu padu dan bergerak serentak agar Covid-19 ini akan berlalu segera daripada kehidupan masyarakat dan negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan wujud kekeliruan berkenaan laporan kononnya Selangor enggan melaksanakan lockdown penuh atau PKP yang lebih ketat.

Oleh kerana kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media berasingan pada Rabu memaklumkan PKP tidak perlu dilaksanakan berikutan kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan kenyataan Dzulkefly bukanlah sesuatu ketetapan kerana ia masih di peringkat perbincangan. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -