
ALOR SETAR: Biarpun dilancar hanya dalam tempoh lima hari namun PAS Kedah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1,571,363 untuk Aid4Palestine.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal hasil pengembelingan tenaga PAS kawasan, Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP).
“Saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua pihak termasuk orang persendirian, NG0 dan lain-lain berlumba-lumba melakukan kerja amal ini,” ujarnya pada sidang media sempena majlis serahan sumbangan Aid4Palestine di Kompleks PAS Kedah semalam.
Pada program itu PAS Baling muncul sebagai penyumbang terbanyak iaitu sebanyak RM173,039,90 mengatasi 14 kawasan lain.
Kemudian diikuti Dewan Pemuda PAS Kedah (RM160,000), PAS Merbok (RM157,122) dan Dewan Muslimat PAS negeri (RM153,527).
Ahmad juga berkata, kerjasama tersebut begitu luar biasa mungkin disebabkan dalam suasana Aidilfitri dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKD) sekarang.
“Selain itu membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap nasib rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa pembantaian regim zionis Isreal yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Pada 14 Mei lalu PAS Kedah melancarkan Derma Tabung Jihad untuk Aid4Palestine.
Pada akhir Ramadan lepas dunia digemparkan apabila regim zionis Isreal melancarkan serangan ke atas umat Islam di Masjidil Al-Aqsa ketika mereka memperingati ‘Intifadah’ setiap Jumaat terakhir di bulan Ramadan.
Banyak kediaman, bangunan, sekolah dan milik awam dimusnahkan dengan bedilan bom oleh regim haram tersebut.– HARAKAHDAILY 19/5/2021











