Lari dari lokasi PKPD boleh bawa wabak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis mengenal pasti senarai nama penduduk Kampung Pauh Lima yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula malam tadi ekoran peningkatan kes Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, senarai nama penduduk di kawasan tersebut dibekalkan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Senarai nama penduduk terbabit sudah ada dengan Jabatan Kesihatan. Jadi mereka tidak boleh melarikan diri, kalau mereka keluar pun dia cuba bawa penyakit Covid-19.

- Advertisement -

“Elok patah balik semula dan buat ujian saringan, ini tujuan PKPD diadakan,” katanya selepas meninjau persiapan pihak berkuasa melaksanakan PKPD di kampung terbabit semalam.

PKPD yang dikuatkuasa itu melibatkan Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu ekoran peningkatan mendadak dalam tempoh dua minggu lalu dengan 74 individu direkod positif.

Shafien berkata, langkah itu bagi membantu petugas kesihatan melakukan saringan terhadap lebih 1,032 penduduk di kawasan tersebut.

Kata beliau pihaknya akan mengadakan 10 sekatan jalan raya melibatkan 104 anggota polis, Rela dan tentera.

“Langkah tersebut untuk menyekat sebarang kemasukan orang luar dan penduduk Pauh Lima yang hendak keluar ke kawasan lain.

“Harapan saya supaya rakyat dan penduduk di sini dapat memberi kerjasama untuk bersama-sama menangani wabak Covid-19 ini daripada terus menular ke lokasi lain,” kata beliau.

Beliau juga berkata, pihak polis mengenal pasti lorong tikus yang boleh digunakan penduduk kerana kawasan berkenaan melibatkan dua daerah iaitu Kota Bharu dan Bachok.

“Di sini banyak lorong tikus yang boleh dilalui menggunakan kenderaan kecil, jadi kita akan sekat semuanya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain kata beliau Polis Kelantan menerima aduan orang awam mengenai perbuatan melukis bendera Isreal di jalan raya di Pengkalan Kubor dekat sini.

Menurutnya perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 (Akta 336).

“Kesalahan menconteng di tempat awam menjadi satu kesalahan sebenarnya di bawah Akta 336 terbabit, jadi tidak boleh conteng sebarangan di tempat awam itu menjadi kesalahan.

“Jadi setakat ini kita sudah buka satu kertas siasatan ekoran dia lukis logo bendera Isreal di atas jalan raya itu tidak boleh, kita masih mencari individu berkenaan yang melakukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -