
PAYA BESAR: Sebanyak 100 bungkus murtabak sebagai juadah berbuka puasa diagihkan secara pandu lalu kepada orang ramai di sekitar Kampung RRM Permatang Badak, Kuantan, di sini semalam.
ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang mengetuai agihan secara demikian berikutan situasi pandemik COVID-19 ketika ini.
Program tahunan yang menjadi rutin penganjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching semasa Ramadan ini bertujuan mempraktikkan sunnah memberi makan orang untuk berbuka puasa.
Selain itu, ianya untuk menyemarakkan amal ibadah Ramadan yang dituntut Allah S.W.T dengan memanjangkan jariah sedekah dan bermesra dengan sesama saudara dalam mengikat ukhuwah.
“Jom kita lipat gandakan ganjaran pahala di bulan Ramadan ini. Banyak _special offer_ yang Allah tawarkan buat kita semua,” ujarnya memetik hadis daripada Zaid bin Khalid R.A.
Hadis riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi itu menyatakan orang yang memberi orang lain makan baginya pahala seumpama tanpa dikurang sedikitpun pahala orang berpuasa itu.

Secara khusus pesanan tersebut disematkan beliau kepada para petugas untuk terus bermotivasi merebut segala kelebihan yang masih berbaki hari di bulan Ramadan ini.
PKM ADUN Panching juga dalam rangka persiapan Aidil Fitri kepada anak-anak yatim dan bantuan dapur kepada para asnaf serta keluarga memerlukan dalam DUN tersebut khususnya.
Para dermawan yang dapat menyokong atau ingin bersama dalam usaha ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Muamalat 06010004266719 dan sebarang pertanyaan hubungi 0162640448. – HARAKAHDAILY 1/5/2021











