Pastikan ternakan air tawar tidak ganggu penduduk

- Advertisement -

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) meminta peternak ikan air tawar supaya menghentikan sebarang pembinaan kekal di tali air yang boleh menghalang laluan saliran air untuk mengalir ke tanaman padi.

- Advertisement -

Perkara itu dibimbangi boleh menjejaskan sistem pengairan dan hasil tanaman padi di kawasan bendang berdekatan memandangkan pembinaan itu didapati menganggu saliran air daripada berjalan dengan baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyeru pihak peternak ikan air tawar memberi kerjasama bagi memastikan setiap aktiviti peternakan tidak menjejaskan penduduk sekeliling terutama penanam padi.

“Kedua-dua subsektor ini mempunyai kepentingan masing-masing, sudah tentu dia ada kepentingan yang berbeza, jadi kita selaraskan masalah yang ada supaya kedua-dua kepentingan ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Cuma saya menyeru peternak-peternak agar dapat mengatasi dengan baik dan tidak mengganggu proses penyaluran air untuk sampai ke tanaman padi.

“Maka perlu ada kerjasama antara satu sama lain supaya tidak membina satu halangan kekal atau sangkar yang menyekat saliran air dan makanan tertentu juga perlu dititiberatian supaya ia tidak mencemarkan kualiti air,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan pada lawatan kerja projek ternakan ikan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bendang Kerian, di sini hari ini.

Turut hadir sama, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Mengulas lanjut berkenaan itu katanya, KADA akan merangka satu prosedur operasi standard (SOP) khas pada peternak ikan air tawar di lokasi KRT Bendang Kerian.

Jelasnya, SOP itu bertujuan untuk memperbaiki serta memperkaskan aktiviti peternakan akuakultur seperti menggariskan beberapa perkara antaranya jumlah keluasan sangkar dan faktor keselamatan tali air. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -