PAS Pekan jengah denyut nadi hidup asnaf

- Advertisement -

PEKAN: Ziarah Kasih Ramadan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Pekan berterusan sepanjang bulan keberkatan ini meskipun pada awalnya terhalang oleh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di lima lokaliti di sini.

Program menjejak dan mendekati golongan asnaf ini diketuai oleh Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf bersama Bendahari, Muhammad Naim Mohd Nor dan Pengerusi LKK, Ahmad Haron dan Ahli-ahli Jawatankuasa LKK.

- Advertisement -

Sumbangan berupa wang, barangan dapur dan keperluan asas kepada golongan yang diuji dengan kemiskinan ini sekurang- kurangnya dapat membantu meringankan beban dan menggembirakan hati penerima.

“Majoriti di kalangan asnaf yang disantuni adalah yang amat memerlukan bantuan, antaranya merupakan orang kelainan upaya (OKU), menghadapi masalah kesihatan dan ada juga yang sakit terlantar.

“Malahan lebih daripada itu ramai yang tidak memiliki pendapatan tetap dengan bilangan tanggungan anak yang ramai dan ada di antaranya yang masih bersekolah. Ini termasuklah ibu tunggal yang menyara keluarga dalam keadaan serba kekurangan,” ujar Bendahari LKK, Mohd Nazhar Othman.

Sementara itu, LKK Dewan Muslimat PAS Pekan pula telah menyampaikan sumbangan berupa peti ais dan kipas angin kepada salah sebuah keluarga asnaf di kediamannya di Tanah Putih, di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut adalah tindakan susulan yang mana ketika diziarahi, Junerawati Abu Bakar yang merupakan ibu tunggal menghadapi masalah barangan keperluan termasuk motosikalnya dalam keadaan rosak.

Penyerahan hasil daripada sumbangan ahli itu, telah disempurnakan oleh Ustaz Abu Kassim yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lajnah Ekonomi, Nor Afandi Hamzah dan Ketua Muslimat serta Naib Ketua Muslimat, Ustazah Rohana Mohamad dan Dr Harison Mohd Amin.

Pengerusi LKK Muslimat PAS Pekan, Siti Hawa Mohamed berkata, sumbangan daripada orang ramai ini ternyata memberi kebahagiaan kepada penerima dan membuatkannya rasa bersyukur kerana dibantu. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -