DHPP, LPN sumbang mesin braille untuk OKU penglihatan

- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Gombak telah menyumbangkan sebuah mesin braille kepada pelajar orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Sumbangan kepada Nik Muhamad Ahnaf Ruhijee Raja Anuar, 16 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak ini telah disampaikan Yang Dipertua PAS Gombak, Ustaz Saleh Huddin Mohd Nasir.

Program dengan mendapat kerjasama Alternative Riding Club Selangor, Syabab Care Malaysia dan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) ini bertujuan membantu pembelajaran Ahnaf.

- Advertisement -

Beliau yang cacat penglihatan sejak usia 6 tahun turut menerima komputer riba dan sumbangan barangan kebajikan lain pada pertemuan di kediaman keluarganya di Taman Sri Gombak Fasa 4, di sini kelmarin.

Hadir sama adalah Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Kong Tuck Wah dan wakil DHPP Gombak, Sarojinee Murugiah, Wong Kum Chyang dan Lim Kok Ong serta wakil LPN Gombak, Inun Yaakob.

Juga wakil ARC Selangor, Azha Mat Salleh dan wakil Syabab Care, Muhammad Fadzli Abu Bakar serta Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga Taman Sri Gombak Fasa 4, Zainal Ibrahim.

DHPP dan LPN Gombak sangat berbesar hati mengalukan sumbangan awam bagi menjayakan program seumpama ini menerusi akaun Maybank Lajnah Perpaduan Nasional PAS Gombak 562405640793. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -