Tiada petunjuk baharu kesan mangsa bot karam

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Usaha mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang hilang di perairan Kuala Besar sejak Sabtu lepas masuk hari kelima hari ini.

Operasi itu membabitkan kawasan keseluruhan seluas 355.65 batu nautika persegi dari lokasi mangsa Zulshahmi Danial Zulazman, 26 dilaporkan hilang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharfin berkata, operasi itu disertai pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan nelayan.

- Advertisement -

Katanya, sehingga sekarang gagal ditemui sebarang maklumat dan petunjuk.

“Usaha mencari akan ditamatkan dua hari lagi jika tiada sebarang petunjuk baharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Tok Bali hari ini.

Pada kejadian Sabtu lepas dua rakan mangsa Mat Awang @ Jali, 54, dan Mat Harun Mat Nor, 55 ditemui selamat ketika bergantung tong ikan.

Bot fiber yang mereka naiki menyadat sotong karam dipukul ribut jam 10.30 malam di lokasi kira-kira 10 batu nautika dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar.

Khairun Dalilah juga berkata, pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 85.62 batu nautika persegi membabitkan bot ronda RH3 Pasukan Polis Marin dan bot Destiny milik APM.

Katanya APMM Kelantan menggerakkan 10 pegawai dan anggota bagi membantu mengurus, menyelaras dan siap siaga 24 jam di pangkalan hadapan.

Menurutnya juga sejak hari pertama kejadian pihak Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand berkenaan insiden itu kerana dikhuatiri mangsa hanyut ke perairan ke negara jiran.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Saripudin Ishak berkata, kemungkinan mangsa hanyut ada asasnya berdasar perubahan arus laut di kawasan kejadian.

Selain itu mungkin juga mangsa dibawa arus jauh ke lautan ditiup angin yang datang dari arah barat daya.

Menurutnya juga sebahagian 200 bot nelayan yang menangkap ikan di kawasan itu diarah turut membantu bagi mengesan mangsa. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -