
ALOR SETAR: Anak Kedah di perantauan dinasihatkan untuk tidak cuba-cuba merentas negeri bagi pulang menyambut hari raya Aidil Fitri di negeri ini berikutan larangan telah dikuatkuasakan kerajaan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jika mereka bertindak demikian hingga menyebabkan dikenakan kompaun tentu akan terjadi sentimen-sentimen yang sengaja dibangkitkan.
Beliau berkata, apabila dikenakan denda, ada yang membangkitkan untuk mencari kesalahan pihak kerajaan dan kononnya pelaku tidak langsung melanggar peraturan telah ditetapkan.
“Untuk kes tak boleh rentas negeri, orang buat sentimen dia kata jangan tengok selipar banyak baru nak pergi check. Check sama kut-kut tak ada selipar pasal anak tak boleh balik, tinggal dua orang saja dalam itu kan. Orang pusing balik.
“Dalam keadaan COVID-19 ini, banyak sekali benda-benda yang kita biasa buat masa dulu tidak dapat dibuat, tidak dapat dilakukan. Itu dipanggil norma baharu. Tak balik kampung ini norma baharulah.
“Lebih baik tak balik kampung tapi nyawa masih di badan daripada balik kampung semua orang kampung mati, semua orang kampung terkesan dengan COVID-19. lebih baik tak balik kan?
“Jadi, kita pakai ‘hastag‘ itu pula, ‘lebih baik masih bernyawa jika balik hilang nyawa’. Mungkinlah boleh pakai macam itu. Norma baharu,” saran beliau.
Jelasnya, ada pertimbangan pihak kerajaan pada ketika membenarkan rentas negeri satu ketika dulu tetapi selepas daripada itu peningkatan kes berlaku, menjadikan ia satu pengalaman.
Terang beliau, keadaan seperti ini memberi petunjuk terhadap keputusan berkaitan rentas negeri yang akan menyebabkan pergerakan ini besar-besaran terutamanya musim perayaan.
“Oleh kerana pada masa lalu ia telah mengakibatkan peningkatan kes selepas rentas negeri, maka eloklah rentas negeri tidak dibenarkan sempena perayaan ini. Kerajaan ini dia buat keputusan untuk kebaikan orang ramailah.
“Mungkin ada setengah orang terjejas dengan kesan keputusan itu. Saya tidak nafikan, dia tak boleh balik. Macam pak saya sendiri ada 13 anak, saya seorang saja boleh balik sebab saya duduk di Kedah.
“Hat lain semua duduk Kuala Lumpur, tak boleh balik. Terjejas bapa saya, tapi saya redhalah, jadi sayalah balik. Adik-beradik lain redhalah, hantarlah gambar, buat video call, itu norma baharu, 13 anak. Tak ada semua, tentulah sedih pak saya, mak saya kan.
“Tapi apa kan daya. Norma baharu. Mak pak orang lain pun samalah, tentulah sedih juga. Dan anak-anak dia hat duduk Kuala Lumpur pun sedih juga tak boleh balik kan? Buat video call lah, beli data lebih sikit. Norma baharu,” utaranya. – HARAKAHDAILY 24/4/2021











