Jabatan Perangkaan tidak mahu muncul ‘kluster banci’

- Advertisement -

KANGAR: Jabatan Perangkaan Malaysia tidak mahu muncul ‘kluster banci’ ketika melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 secara bersemuka sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya Teknikal Banci Negeri Perlis, Pathmavathi Appulanaidu berkata, pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa kedua kaedah temu ramah secara bersemuka.

- Advertisement -

Katanya kaedah itu dipinda sebanyak tiga kali ekoran penularan Covid-19 dengan mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan penyebaran wabak dapat dikekang.

Menurut beliau pindaan pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa kedua kaedah temu ramah bersemuka dibuat dengan merujuk pihak berwajib.

“Proses bancian di Perlis sekarang mencapai 72.6 peratus bagi mencapai sasaran 250,000 penduduk.

“Oleh itu setiap anggota masyarakat di negeri ini digesa memberi kerjasama dalam menjayakan banci yang diadakan setiap 10 tahun dengan memberikan maklum balas yang tepat,” katanya ketika ditemui pada program bancian hari ini.

Turut hadir Adun Indera Kayangan, Gan Ay Lin yang turut membantu membuat hebahan kepada penduduk tempatan mengenai pelaksanaan Banci Malaysia 2020.

Pathmavathi juga berkata, Banci Malaysia 2020 merupakan peluang kepada rakyat menyuarakan keperluan mereka melalui soal selidik yang disediakan agensi berkenaan.

“Banci Malaysia 2020 ini merupakan projek kita bersama untuk memastikan kemudahan dan prasarana yang diperlukan rakyat.

“Kita seharusnya bersatu hati demi negara dalam menjayakan projek nasional ini. Sayang sekiranya peluang 10 tahun sekali ini disia-siakan jika hanya disebabkan oleh berlainan fahaman politik,” katanya.

Kata beliau juga kesannya dapat dilihat kepada generasi akan datang sekiranya maklumat yang diperlukan gagal diperolehi.

Banci Malaysia 2020 di Perlis dijangka diselesai pada penghujung Mei ini. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -