
KITA mungkin sebahagian orang yang stereotaip ‘hitam putih’ bila cakap soal politik. Sebab fokus kita adalah untuk menangkan sesuatu ikut selera persepsi kita. Sebab itu sampai sudah, akhirnya kita seperti berada dalam ‘Marry go round bila bincang sesuatu topik. Bising-bising tapi masalah tak selesai.
Ada yang percaya ‘kalau kumpulan yang aku sokong menang , pasti masalah selesai’ . Akhirnya bila dah ada peluang sebenar ‘masalah tak juga selesai’. Kita tersangkut dalam dialektika binari bila membincangkan suatu isu.
Sebagai NGO pendekatan yang sebaiknya digunakan adalah tidak terperangkap dalam dialektika sempit begini. Ya, kita tak dapat nak buat kesimpulan mengenai kebenaran sesuatu isu lapangan jika skemanya ‘hitam’ atau ‘putih’.
Ada naratif umum yang dibuat kononnya, masa zaman Yeo Bee Yin tiada langsung kontena plastik kitar semula masuk ke Malaysia. Sedangkan kini bila berubah Menteri yang baru, Menteri kini benarkan sisa plastik kitar semula masuk.
Ini naratif binari politik. Tak ada nilai langsung untuk dibuat hujah bila kita semak fakta sebenar. Ini dapat disahkan melalui laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar yang melakukan kerja mereka tanpa kira siapa jadi Menteri.
Satu perkara lagi yang perlu kita teliti adalah punca kuasa utama dalam kerajaan berkaitan pengurusan plastik kitar semula adalah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bukanlah Kementerian Alam Sekitar.
Disebabkan pemikiran binari, orang dah tak ambil kisah soal ‘bidang kuasa’ kerja sesuatu pihak. Yang penting , dia bukan geng aku, lalu nak nampak teruk sangat gambaran headlines media menyatakan ‘Menteri benarkan sisa plastik masuk’ terus kecam sepuas hati.
Sebagai NGO peringkat Negeri Pulau Pinang, walaupun saya tak fokus isu ini buat masa ini, saya nampak isu plastik kitar semula perlu diatasi dengan berperingkat, berstrategi dan menuju sasaran punca kuasa yang tepat.
Bagaimana menuju sasaran tepat bagi isu plastik kitar semula? KPKT yang kawal AP (approved permit) bagi kemasukan import plastik kitar semula. Jadi kita harus fokus menambahbaik akta-akta yang berkaitan pengurusan sisa pepejal. Sisa plastik kitar semula ini adalah sebahagian daripada sisa pepejal.
Berikut beberapa akta yang boleh kita mula teliti;
1. Akta 672: Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
2. Akta 673: Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
3. Akta A1311: Akta Kerajaan Tempatan (pindaan) 2007.
Terdapat beberapa agensi besar yang tak disentuh oleh ramai orang seperti SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara sedangkan komentar kita di media sosial macam kita pejuang sebenar isu plastik.
Saya hairan apabila tidak pula kedengaran kritikan kita terhadap Menteri KPKT yang mencadangkan Fee RM50 dikurangkan menjadi RM20 bagi setiap tan kemasukan plastik kitar semula ini.
Petikan The Star 4 April 2021;
Housing and Local Government Minister Datuk Zuraida Kamaruddin said the government had wanted to charge a fee of RM50 for every tonne but it was negotiated down to RM20.
“They have agreed, so we will implement this in June, ” she told The Star.
Politik binari hitam putih akan menghalang kita untuk bersatu untuk fokus mendepani isu secara bersasar dan berterusan tanpa kira siapapun di tampuk kuasa.
Kalau sesiapa masih simplistik dengan naratif ‘hitam putih’, saya boleh buat satu posting khas kes pencemaran kilang plastik kitar semula yang tak dihiraukan oleh Yeo Bee Yin semasa menjadi Menteri yang jaga alam sekitar.
Beliau tak turun pun ke Sungai Petani di kala berpuluh laporan polis NGO tempatan telah buat terhadap kilang plastik kitar semula yang beroperasi haram. NGO terancam dengan gangster yang berada di bawah payung kawan politik beliau sendiri.
Selain itu, ‘plastik bersih’ juga lepas masuk ke Malaysia di era Yeo Bee Yin menjaga alam sekitar. Ini realiti bukan sembang politik yang cuba nak menafikan ‘the ugly truth’.
Banyak poin-poin tergantung seperti istilah ‘plastik bersih’, hal fungsi-fungsi agensi beberapa kementerian lain yang boleh dibahas untuk membina kefahaman dan ketumbukan dalam kalangan masyarakat sivil supaya bersama bagi menyelesaikan masalah plastik kitar semula ini.
Begitulah betapa politik binari akan menyebabkan kita fokus bertelagah nak menangkan kelompok masing-masing. Kita tak fokus nak selesaikan masalah plastik kitar semula yang sepatutnya kita harus bersatu tanpa kira latar.
Hujung minggu ini asalnya nak bahas topik sains politik dan bagaimana kefahaman sains politik perlu untuk kerja-kerja aktivisme NGO Alam Sekitar, tapi terpaksalah ditangguhkan perbincangan topik ini ke sesi seterusnya. Ok selamat berhujung minggu semua selamat berpuasa kepada Muslim.
ZIKRULLAH ISMAIL – HARAKAHDAILY 26/4/2021











