Pekerja Ladang Sungai Terah diberi lot kediaman

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 45 pekerja Ladang Sungai Terah Sdn Bhd yang bermula daripada kakitangan pengurusan sehingga buruh diberi lot kediaman.

Pengurusinya, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, syarikat menanggung kos sekurang-kurang RM1 juta bagi melakukan proses menyediakan 274 lot di kawasan seluas 45 ekar.

Menurutnya, tanah dibahagikan kepada empat bahagian, lot bagi kakitangan pengurusan, ahli jawatankuasa Masjid Ladang Sungai Terah, kakitangan dan buruh bergaji hari.

- Advertisement -

“Pemberian lot tanah itu merupakan hasrat Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih 20 tahun lalu ketika majlis perasmian Masjid Ladang Sungai Terah.

“Usaha ini bagi menggalakkan pembangunan lebih pesat di kawasan berkenaan dan memastikan staf mempunyai kediaman, bermustautin dan secara tidak langsung dapat mengimrahkan masjid,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Pasir Tumboh di Bandar Satellit Islam.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, manfaat itu diberikan kepada kakitangan warganegara Malaysia serta menabur bakti bersama syarikat lebih 10 tahun.

Namun katanya kos meratakan tanah, mencuci dan urusan pindah milik lot ditanggung pekerja terbabit setelah kerajaan memberi lot rumah tersebut.

Menurutnya juga pekerja terbabit merupakan penerima lot bagi fasa kedua selepas sebahagian lagi kakitangan mendapat tanah tersebut sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau juga berkata, pihak pengurusan Ladang Sungai Terah menggalakkan kakitangan membina rumah dengan menawarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM50,000 kepada mereka yang layak.

Ladang Sungai Terah merupakan anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan terletak di Gua Musang dengan mempelopori ladang sawit dan getah.

Bermula dengan tanaman getah pada 1973 di Ladang Kelasa dan Subong, Gua Musang. Ladang Kelasa membabitkan kawasan seluas 2,665 hektar dan Ladang Subong pula seluas 2,993 hektar.

Kemudian pada 1980 keluasan ladang getah ditambah menjadi 6,400 hektar (16,000 ekar). – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -