SRITI Kelantan miliki lebih 2,150 pelajar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang terdapat 12 Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) di Kelantan dengan bilangan pelajar seramai 2,155 orang Manakala tenaga pengajarnya pula seramai 196 orang.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, pihaknya akan membina dua lagi SRITI tahun hadapan bagi memastikan setiap kawasan parlimen di negeri itu mempunyai institusi pendidikan terbabit.

Katanya, SRITI akan dibuka di Pasir Mas dan Kuala Krai selepas SRITI Tok Bachok di Bachok dan SRITI Samad Gul di Rantau Panjang beroperasi tahun ini.

- Advertisement -

“Sekarang kita ada 12 SRITI, tahun depan kita akan cuba untuk buka dua lagi agar setiap parlimen ada SRITI. Kita akan berusaha untuk pastikan setiap kawasan ada SRITI.

“kita mahu lahirkan pelajar dan generasi yang benar-benar beriman kepada Allah serta mengisi masa depan negara dengan orang-orang muda yang berakhlak Islam,” katanya di sini.

Terdahulu beliau meninjau perkembangan SRITI al Fateh, Kota Bharu; SRITI Tok Guru, Pulau Melaka; SRITI Madinatul Ilmi, Kubang Kerian dan SRITI Tok Bachok, Bachok.

Beliau berkata, pelaksanaan SRITI pasca pandemik Covid-19 berjalan lancar, malah pelbagai kemudahan dan keselesaan guru serta pelajar sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Menurutnya juga 70 peratus SRITI di Kelantan dilengkapi sistem penghawa dingin antaranya SRITI al Fateh dan SRITI Madinatul Ilmu di Kubang Kerian.

SRITI merupakan pusat pendidikan peringkat rendah milik PAS yang dikelola Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan ia merupakan kesinambungan dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

SRITI ditubuhkan pada 2016 menawarkan pendidikan dinamakan Silibus Kurikulum Asas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah (Kaffah), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa). – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -