Covid-19: Sedih tengok ramai kawan tutup kedai

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lepas pelbagai pakej bantuan diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat.

Ia bermula dengan Pakej Prihatin, Penjana, Permai dan terbaharu pula Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) memperuntukkan sebanyak RM20 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan inisiatif itu untuk merangsang ekonomi rakyat.

Bantuan itu meliputi RM1.2 bilion kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.

- Advertisement -

Manakala RM100 juta bantuan barangan dapur kepada 300,000 isi rumah dan RM20 juta bantuan kepada golongan usahawan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Usaha yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu disambut orang ramai terutamanya golongan peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Peniaga kain Bazar Siti Fatimah, Haslinawati Daud, 48, (foto atas) meluahkan rasa syukur walaupun beliau kini berdepan kesukaran untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Katanya, beliau memahami situasi yang sedang dihadapi kerajaan yang berdepan dengan suasana pendemik Covid-19 untuk menguruskan rakyat dan negara.

Namun, beliau juga berharap kerajaan terus membantu rakyat dan khususnya peniaga melalui pelbagai inisiatif demi membangunkan semula sektor-sektor yang terjejas seperti perniagaan dan pelancongan.

“Jika pelancong tidak dapat masuk ia juga akan memberi kesan kepada kita yang berniaga, sebab di sini meriah kerana adanya pelancong yang datang dari luar Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peniaga Mariani Rahim, 55 berkata beliau bersyukur kerana perniagaannya boleh beroperasi semula seperti sedia kala meski pun sambutan tidak sama seperti dahulu.

“Rasa sedih apabila melihat situasa sekarang, ramai kawan-kawan kita tutup kedai sebab terkesan dengan pendemik Covid-19.

“Kita harap semoga Covid-19 segera dapat dihapuskan supaya kita dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan ramai pelancong dapat datang bagi merancakkan jualan,” katanya.

Beliau juga berharap semua pihak memahami nasib yang ditanggung peniaga dengan memberi insentif termasuk penangguhan pelbagai pembayaran ansuran bulanan seperti sewa dan pinjaman kewangan.

Beliau yakin program Pemerkasa dapat melonjakkan ekosistem perdagangan domestik terutama peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -