Rancangan tingkat bekalan air terawat ke HRPZ2

- Advertisement -

SITUASI semasa bekalan air terawat ke HRPZ2

Dua buah Loji Rawatan Air (LRA) membekalkan air terawat ke HRPZ2 iaitu LRA Kampong Puteh (melalui Tangki Merbau dan Tangki Telipot) dan LRA Tanjong Mas. Bagaimanapun, bekalan air terawat ke HRPZ2 sering terganggu disebabkan oleh permintaan air yang tinggi di kawasan agihan LRA Kampong Puteh dan LRA Tanjong Mas. 

Situasi ini diburukkan lagi oleh kadar air tak terhasil (Non-revenue water – NRW) yang tinggi iaitu melebihi 50 peratus. Purata agihan air terawat semasa ke HRPZ2 adalah sekitar 1.5 juta liter sehari (JLH) iaitu jauh lebih rendah dari permintaan iaitu 3.0 JLH berasaskan storan air selama dua hari. Agihan air terawat di dalam Kompleks HRPZ2 adalah melalui sembilan tangki (Jadual 1 dan Rajah 1).

- Advertisement -
Jadual 1: Statistik Tangki Air di HRPZ2
Rajah 1: Lokasi Tangki Air di HRPZ2

Tindakan yang telah dan sedang diambil untuk kurangkan gangguan bekalan air terawat di HRPZ2

SPAN telah melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina sebuah tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 3.5 m3 di HRPZ2. Ianya telah beroperasi mulai 5 November 2020 bagi membekalkan air terawat ke Blok Wad Lama;

Penghantaran air terawat melalui lori tangki AKSB ke HRPZ2 sehingga enam perjalanan sehari iaitu sehingga 48 m3 sehari;

Pemasangan paip baharu sepanjang 60 km di Bandar Kota Bharu (DMA Merbau) melalui Projek Penukaran Paip Pakej 7 dan Pakej 4 Tahun 2018 di bawah pembiayaan PAAB yang melibatkan Kompleks HRPZ2. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada April 2021 dan dijangka menyelesaikan 60 peratus daripada masalah bekalan air terawat di HRPZ2. Sehingga 22 Mac 2021, projek ini telah berjaya menyambungkan paip baharu, dan telah meningkatkan aliran air dan tekanan air ke tangki-tangki berikut:
a) Tangki Blok Wad Lama (32 hingga 42 m3/jam atau 0.8 hingga 1.0 JLH);
b) Tangki Unit Sajian & Dietetik (15 hingga 17 m3/jam atau 0.36 – 0.41 JLH); dan
c) Tangki Blok Fasa 1 (10 hingga 13 m3/jam atau 0.24 – 0.31 JLH).

Perancangan AKSB untuk mengatasi gangguan bekalan air terawat di HRPZ2

Pembinaan paip khusus (dedicated pipeline) dari Tangki Merbau ke HRPZ2. Tender bagi projek ini telah diiklankan pada 11 Februari 2021 dan telah ditutup pada 9 Mac 2021. Keputusan penilaian tender akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Tender Lembaga Pengarah AKSB pada 23 Mac 2021. Anggaran kos projek ini adalah RM800 ribu dengan tempoh pelaksanaan selama dua bulan. Paip khusus ini akan memastikan jaminan agihan bekalan air terawat dari Tangki Merbau ke semua tangki di Kompleks HRPZ2.

Pembinaan sebuah telaga tiub berkapasiti 1.5 JLH bagi menambah sumber air mentah ke LRA Kg Puteh. Ia akan meningkatkan pengeluaran LRA Kg Puteh dan seterusnya meningkatkan agihan bekalan air terawat ke Tangki Merbau. Dokumen untuk perolehan ini sedang disediakan dan tender dirancang diiklan pada April 2021.

Sistem agihan air terawat akan ditingkatkan di Bandar Kota Bharu yang melibatkan Kompleks HRPZ2 sebaik siapnya Projek LRA Kg Telok (Mei 2021) dengan kapasiti 30 JLH dan siapnya Projek Penambahan Sumber Air Mentah sebanyak 10 JLH dari Medan Telaga Tok Jaafar ke LRA Pintu Geng (Ogos 2021). Kedua-dua projek ini akan mengurangkan kawasan agihan air terawat dari LRA Kg Puteh dan LRA Tanjung Mas.

Kesimpulan

AKSB akan memastikan perancangan di perenggan tiga dapat direalisasikan sebagaimana jadual. Dengan terlaksananya perancangan ini, gangguan bekalan air terawat di Kompleks HRPZ2 akan diatasi.

Pada masa yang sama, adalah disyorkan pihak HRPZ2 dapat menjalankan audit ke atas penggunaan air terawat di premisnya berdasarkan 11 akaun dan meningkatkan kecekapan agihan air di dalam Kompleks HRPZ2. Analisa penggunaan air terawat di HRPZ2 menunjukkan kadar penggunaan air per kapita yang tinggi dan kadar kehilangan air yang tinggi di dalam sistem agihan di Kompleks HRPZ2 (Jadual 2).

Jadual 2: Analisa penggunaan air terawat HRPZ2

Oleh:

YB DATO’ SR. HAJI AZAMI MOHD. NOR
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan/ Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB 
10 Sya’aban 1442/ 24 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -