KUALA KANGSAR: Masalah bekalan air yang dihadapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), dijangka dapat diatasi menjelang bulan hadapan dengan siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok bagi menampung keperluan pengguna di sekitar Kota Bharu, Kelantan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata loji yang dijangka siap pada April itu mempunyai kapasiti memproses 30 juta liter air sehari.
“Kita harap April nanti apabila loji kita siap mampu tampung bekalan air ke kawasan Kota Bharu termasuk HRPZII. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah keluarkan kenyataan semalam yang mana kita akan ada perancangan jangka panjang dan jangka pendek.
“SPAN telah membina tangki untuk air tambahan di wad bersalin dan kanak-kanak yang telah siap pada 20 Mac lalu. Manakala sambungan yang lain dari tangki dan paip utama sedang dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 Living River Bike Trail dari Chenderoh ke Jambatan Victoria, Karai dekat sini hari ini.
SPAN memaklumkan beberapa pelan jangka pendek dan jangka panjang telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah air di HRPZII antaranya membina tangki sedutan separa tertanam sebagai langkah sementara untuk menyelesaikan isu bekalan air di wad-wad lama HRPZ II.
Pada masa sama SPAN melalui Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) telah memulakan projek pembinaan paip khas daripada tangki air Merbau terus ke HRPZ II sebagai jaminan bekalan air di hospital itu.
Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali dilaporkan berkata isu bekalan air terawat yang dialami sebahagian besar rakyat Kelantan sejak sekian lama turut dirasai dan menjejaskan operasi hospital.
Katanya, walaupun tiada kejadian pembedahan terpaksa ditangguhkan oleh kerana tiada air atau rawatan terjejas, namun saban hari masalah bekalan air sentiasa menjadi kekangan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata pihaknya yakin projek PLSB Sungai Perak Fasa 1 bernilai RM250 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), dapat menangani masalah sungai dijadikan tempat pembuangan sampah.
Menurutnya, Sungai Perak ketika ini dikategori sebagai kelas pertama kerana tidak banyak sungai yang dapat mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi dan justeru, usaha mengindah dan memelihara kawasan sekitar perlu dilakukan agar tidak berlaku pencemaran seperti sungai-sungai lain di negara ini.
“Projek sepanjang 25 km menggunakan jalan kampung sedia ada, rizab sungai dan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai laluan berbasikal. Jalan kampung ini adalah jalan penyambung antara kampung-kampung dan juga akses kepada jalan-jalan utama.
Pembangunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini adalah untuk mendorong penduduk tempatan supaya berganding bahu bersama bagi memelihara Sungai Perak secara mampan dan bersih,” katanya. – BERNAMA
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!