Sistem kehakiman perlu lebih ramai hakim

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sistem kehakiman negara memerlukan lebih ramai hakim bagi memperkuatkan institut berkenaan.

Keperluan itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan adalah mengikut perkembangan semasa.

Ujarnya, Malaysia mengamalkan sistem lantikan hakim berdasarkan kepada bilangan yang ditetapkan oleh perlembagaan.

“Contohnya untuk Mahkamah Persekutuan hanya 14 orang sahaja dan apabila ada yang bersara baru digantikan, begitu juga bagi peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

- Advertisement -

“Untuk Mahkamah Tinggi jika hakim Mahkamah Tinggi ini tidak mencukupi, kerajaan akan melantik pesuruhjaya kehakiman sebagai temporary judge tetapi kuasanya sama.

“Sementara tidak boleh mengisi jawatan yang ada maka mereka akan jadi pesuruhjaya kehakiman.

“Apabila ada hakim yang bersara, maka pesuruhjaya ini akan dilantik sebagai hakim,” katanya kepada pemberita bagi mengulas berkenaan pelantikan empat Hakim Mahkamah Rayuan.

Takiyuddin ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tablet kepada pelajar memerlukan yang diadakan di Dewan Gelanggang Seni, di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun ulas Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, sekiranya ditambah sebagai hakim tetap, ia memerlukan kepada pemindaan perlembangaan.

“Sementara ingin meminda perlembagaan dan menambah bilangan hakim kita lantik sebagai pesuruhjaya kehakiman judicial commissioner dan ini sedang dibuat oleh kerajaan dalam sistem kehakiman,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat mengurniakan Surat Cara Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan kepada empat hakim.

Empat hakim berkenaan ialah hakim Mahkamah Tinggi iaitu Dato’ Ghazali Cha, Dato’ Seri Mariana Yahya, Dato’ See Mee Chun dan Dato’ Hashim Hamzah. – HARAKAHDAILY 20/3/2021

- Advertisement -