
DI NEGARA yang berbilang kaum seperti Malaysia, terdapat pelbagai program dan usaha untuk memastikan berlaku integrasi kaum. Ketika negara kita di bawah penjajahan British, kebanyakan orang Melayu tinggal di luar bandar, orang Cina di bandar dan orang India di ladang.
Malah setiap kaum dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti ekonomi tertentu. Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan daripada tahun 1971 hingga 1990.
Di antara matlamat dasar baru tersebut untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Orang Melayu digalakkan berpindah ke bandar-bandar. Proses ini menjadi begitu pesat apabila negara menuju ke arah perindustrian di mana tenaga kerja diperlukan untuk kilang-kilang yang baharu dibuka.
Akibat penghijrahan tersebut wujudlah penempatan-penempatan baharu di bandar-bandar dan di pinggir-pinggir bandar.
Penempatan-penempatan itu pada mulanya dikenali sebagai ‘rumah haram’ kemudian istilah tersebut dilunakkan menjadi ‘setinggan’ dan akhirnya ‘peneroka bandar’ sebagai mengiktiraf peranan mereka membuka kawasan-kawasan tersebut.
Sebagai generasi yang bersekolah ketika dan selepas rusuhan kaum 1969, saya dapat merasakan usaha-usaha kerajaan ketika itu untuk memastikan berlaku integrasi nasional.
Saya masih ingat ketika di sekolah rendah, kami akan menyanyikan lagu ‘Muhibbah’ dan membaca ikrar ‘Rukun Negara’.
Sama ada usaha-usaha terbabit berjaya atau tidak, boleh dibahaskan secara panjang lebar, namun tidak dapat dinafikan terdapat usaha-usaha untuk menyatukan kaum.
Walau bagaimanapun penyatuan adalah berasaskan kaum bukan berasaskan status ekonomi setiap individu.
Perbezaan status ekonomi
Saya melihat terdapat tanggapan bahawa hasrat dan harapan mereka daripada sesuatu kaum itu serupa, walaupun dalam kaum yang sama terdapat perbezaan ketara status ekonomi.
Terdapat yang kaya dan terdapat juga miskin. Sudah tentu mereka miliki mimpi yang berbeza walaupun dari kaum yang sama. Tidak ada usaha integrasi kelas yang bersungguh-sungguh seperti integrasi kaum.
Akhirnya masyarakat kita terpisah di antara satu sama lain. Yang kaya di satu kawasan dan yang miskin di satu kawasan lain.
Mungkin polisi perumahan dan perancangan bandar kita mengakibatkan perkara ini berlaku. Terdapat kawasan perumahan mewah, terdapat kawasan perumahan kos sederhana dam terdapat perumahan kos rendah yang memecahkan masyarakat kita kepada blok-blok ekonomi yang berbeza.
Kadang-kala berlaku integrasi kaum dalam kalangan penduduk pada blok ekonomi masing-masing. Tetapi ia adalah kerana wujudnya konflik di antara kelas.
Mungkin ada yang menganggap perkara ini remeh dan mungkin diperbesarkan tetapi terdapat beberapa contoh yang cukup serius sehingga memerlukan campurtangan kerajaan negeri.
Ada satu kes di mana penduduk sebuah pangsapuri menghalang pelajar-pelajar sekolah dari pangsapuri kos rendah melalui kawasan mereka ketika hendak pergi dan pulang dari sekolah.
Terdapat satu lagi pangsapuri yang tidak mahu jalan masuk ke sebuah pembangunan kos rendah melalui di kawasan pembangunan mereka.
Ketika saya Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, seorang Adun pernah menyampaikan aduan daripada penduduk rumah teres kerana sebuah pembangunan pangsapuri mampu milik akan dibina di situ.
Semasa saya di dalam kerajaan negeri Selangor, saya pernah mencadangkan kepada pemaju agar dicampurkan pembangunan pelbagai kos dalam satu blok.
Ini bermakna terdapat unit-unit kos sederhana, kos sederhana rendah dan kos rendah di satu blok. Walau bagaimanapun cadangan ini tidak persetujui walaupun mereka mengakui sebagai pejuang rakyat.
Justeru itu di mana akan berlaku integrasi kelas? Ada yang berkata di institusi agama seperti surau dan masjid tetapi saya ada satu kisah yang boleh menjadi iktibar kepada kita semua.
Terdapat sebuah surau di mana ahli kariahnya dari rumah kos sederhana dan kos rendah. Akhirnya dianjur kerja-kerja seperti membasuh, membersih dan mengemas diadakan mereka yang terlibat hanya dari rumah kos rendah.
Mereka dari rumah kos sederhana hanya sekadar menjadi mandur atau pemerhati. Akhirnya ramai jemaah dari rumah kos rendah berpindah ke surau yang lain. Tetapi ini mungkin kes yang terpencil dan terdapat banyak tempat di mana sebarang perbezaan dapat diurus dengan baik.
Saya yakin integrasi kelas ini penting kerana ia membolehkan kita memahami aspirasi dan keperluan masing-masing.
Ini penting kerana ada di antara kita yang akan menjadi pemimpin. Sama ada pemimpin kerajaan atau masyarakat atau di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.
Mereka di atas perlu memahami kumpulan di bawah dan mereka di bawah perlu memahami pihak di atas. Bukan sekadar berpura-pura memahami atau mendapat maklumat daripada pihak ketiga.
Walau bagaimanapun saya tidak melihat ia banyak berlaku. Kita tinggal di kawasan yang berlainan. Malah sekarang terdapat pembangunan berpagar dan berpengawal (gated and guarded) yang tidak menggalakkan interaksi.
Kita beriadah di tempat yang berbeza. Minat rekreasi kita juga berbeza. Anak-anak kita juga belajar di sekolah yang berbeza walaupun kita dari kaum yang sama.
Ada yang terpaksa berhempas pulas untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan tetapi ada yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit sebulan untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta. Perlu ada titik pertemuan. Integrasi kelas juga penting. – HARAKAHDAILY 20/3/2021
Penulis merupakan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Kemajuan Dan Perumahan (REACH).











