
ISNIN lalu saya telah melancarkan pendaftaran program sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang bakti dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan sekarang.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah, merangkap Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Turut hadir, Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba; Menteri Belia dan Sukan YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.
MyVac terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan. Orang ramai boleh mendaftar satu daripada dua kategori yang ditawarkan iaitu sebagai sukarelawan am dan sukarelawan perubatan.
Dalam menghadapi fasa kedua PICK yang akan bermula sekitar penghujung April nanti, kami amat mengalu-alukan sokongan para sukarelawan antaranya untuk menjalankan saringan dan pemeriksaan suhu, melaksanakan pendaftaran penerima vaksin, mengurus dan mengawal orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta membuat laporan kepada Banci Nasional dan membantu pegawai perubatan.
Sementara itu, sukarelawan perubatan pula antara lain akan membantu dalam menguruskan ruang sakit (sick bay) dan kawasan pemerhatian, membuat janji temu baharu bagi penerima yang ditolak permohonan vaksinasi mereka dan memberi suntikan vaksin.
MyVac diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PBSM.
Pendaftaran bagi MyVac menerusi KBS, KPT dan PBSM yang telah pun dibuka sejak 22 Februari lalu melalui saluran organisasi masing-masing telah menerima 7,200 permohonan daripada golongan belia, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi dan ahli organisasi bukan kerajaan (NGO).
Sehingga 7.30 malam semalam, lebih 1,600 lagi permohonan yang telah diterima. Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berminat untuk membantu dalam kelancaran PICK supaya mendaftar di www.myvac.com.my.
KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 18/3/2021











