Fasa peralihan monsun pertengahan Mei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berdepan fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei 2021.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perkara itu setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil 1 Tahun 2021 di Ibu Pejabat, Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya.

Katanya menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam dalam fasa ini.

Walau bagaimanapun jelas beliau, cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April 2021.

“Fenomena ini adalah normal dan berlaku sekitar Februari hingga April pada setiap tahun. Tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku pada tahun ini.

“Bagi Februari 2021, jumlah hujan bulanan terendah adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm, manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari 2021,” katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim dalam kenyataannya itu turut memaklumkan, sebanyak 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 10 Mac 2021.

Manakala, sebanyak 29 kes kebakaran berskala besar melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Walau bagaimanapun, semua kes kebakaran telah berjaya dipadamkan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telahpun mengambil tindakan tatatertib terhadap penjenayah alam sekitar terbabit, ujar beliau.

“JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 field citation, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” kata beliau.

Beliau dalam masa sama turut memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan serius untuk membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram dan menambahbaik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan.

Katanya lagi, pihaknya juga akan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -