Air pulih guna solusi kekurangan air bersih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat tujuan khas (SPV), Central Water Reclamation Sdn Bhd (CWR) telah ditubuhkan bagi mengendalikan Loji Rawatan Air Pulih Guna Guna (LRAP) di Setia Alam, Selangor.

- Advertisement -

Inisiatif tersebut dicetuskan bagi mengurangkan bebanan permintaan terhadap bekalan air minum terawat di masa hadapan, khususnya di Lembah Klang, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, keputusan tersebut dimetrai melalui satu perjanjian kerjasama perniagaan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) dengan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd.

Usaha tersebut akan membekalkan air pulih guna bagi tujuan bukan minuman dan makanan kepada para pengilang di Lembah Klang, kata Tuan Ibrahim.

Tambah beliau lagi, dengan pelaksanaan solusi tersebut, ia menjadi satu mercu tanda baharu di dalam industri air dan pembetungan negara.

“Loji ini berupaya membekalkan sebanyak 7.5 juta liter air pulih guna sehari. Syarikat ini dimiliki oleh Air Selangor sebanyak 60 peratus dan IWK 40 peratus.

“Bagi fasa seterusnya, syarikat ini menyasarkan sasaran kumulatif sebanyak 247 juta liter air pulih guna sehari bagi kawasan Lembah Klang. Usahasama ini akan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak kira-kira RM600 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu usaha Kerajaan Persekutuan merealisasikan inisiatif tersebut.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, beliau turut berharap agar kerajaan negeri, operator air negeri lain serta industri-industri dengan penggunaan air yang tinggi dapat turut serta meneroka potensi usahasama sebegini bersama IWK di negeri masing-masing.

Untuk rekod, air pulih guna merupakan air kumbahan yang dirawat daripada Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd melalui proses rawatan tambahan penapisan ultra dan osmosis berbalik.

Air itu berpotensi untuk digunakan semula untuk tujuan sumber air bukan minuman dan kegiatan perkilangan yang bukan berasaskan makanan.

Pada masa ini, Loji Rawatan Air Pulih Guna Guna (LRAP) di Setia Alam yang dikendalikan oleh Central Water Reclamation Sdn Bhd (CWR) Sdn Bhd Selangor mampu memproses 7.5 juta liter air pulih guna sehari. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -