Muafakat Nasional, PN bawa agenda kesatuan Islam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerjasama utuh tiga parti teras orang Melayu di negara ini iaitu PAS, Umno dan Bersatu begitu penting demi penyatuan ummah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, umat Islam perlu bersatu bagi memperkukuhkan lagi perpaduan orang Melayu/Islam di negara ini.

“Tiada siapa pun di dunia ini suka kepada perpecahan yang jelas tidak membawa apa-apa keuntungan.

“Jangan pula suka mencetuskan perpecahan kerana usaha memecah belahkan umat Islam dengan mencetuskan pergaduhan serta permusuhan adalah kerja syaitan,” katanya di sini semalam.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya Umno, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam dilapor memberitahu parti itu tiada masalah sekiranya PAS ingin bekerjasama dengan Bersatu, namun jangan pula menyusahkan Umno.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keuntungan yang dicari bukan untuk kepentingan individu, sebaliknya membawa kebaikan kepada umat Islam.

Oleh itu beliau mengajak umat Islam di Malaysia bersama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) yang jelas membawa agenda kesatuan atas nama Islam.

Menurutnya juga pengamal media wajar bertindak sebagai agen menjayakan agenda perpaduan dan bukannya mencetuskan perpecahan sehingga membawa kerugian kepada umat Islam.

“Kita menjadi agen penyatuan. Itu kerja kita. Lain-lain yang suka berpecah, itu semua sifat semula jadi syaitan. Kalau hanya nak lepas geram, balas dendam, semua itu tak mendatangkan apa-apa faedah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -