
SETIAP Muslim yang melakukan sesuatu pekerjaan, sama ada besar atau kecil, akan memperolehi tiga kejayaan:
Pertama, kejayaan mencapai niat yang ikhlas dalam pekerjaan itu.
Kedua, kejayaan dalam kesungguhannya melakukan pekerjaan itu.
Ketiga, kejayaan pada mencapai matlamat pekerjaannya itu.
Kejayaan ketiga adalah hadiah dan kurniaan awal daripada Allah kepada hamba-Nya di dunia ini. Ia paling ditunggu oleh semua. Adapun kejayaan pertama dan kedua, kemanisan dan kebesarannya akan dinikmati di akhirat nanti.
Ia adalah sebenar-benar buruan para ulamak dan hamba-Nya yang soleh. Mereka menikmati kejayaan yang ketiga (duniawi) dengan cara menambahkan kesyukuran agar memperolehi kejayaan yang lebih besar di akhirat nanti.
Justeru, tiada istilah gagal bagi Muslim yang telah memulakan pekerjaannya dengan memperelokkan niat dan keikhlasannya kerana Allah. Tiada pula kesukaran, keletihan, kesedihan, kesakitan dan kesabaran sepanjang usahanya kecuali pasti akan diganjari jua di akhirat nanti dengan sesempurnanya.
Malah, keagungan ganjaran niat yang ikhlas adalah amat tersembunyi di sisi-Nya sesuai dengan sifat sembunyinya di dunia ini antara hamba dan tuhannya. Takutilah pula menikmati kejayaan di dunia dengan kelalaian atau tidak mensyukurinya. Ia ditakuti akan merosakkan dan meruntuhkan ganjaran pahala niat dan amal di akhirat nanti. Perhatikan perilaku hebat dan doa yang indah daripada khalifah Umar Ibn Abdul Aziz:
ما قلَّب عمر بن عبد العزيز رحمه الله بصره إلى نعمة أنعم الله – عزَّ وجلَّ – بها عليه إلا قال:
“اللهم إني أعوذ بك أن أبدل نعمتك كفرًا، أو أكفرها بعد معرفتها، أو أنساها فلا أثني بها.”
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz tidak mengalihkan pandangannya kepada sesuatu nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya kecuali akan berdoa:
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada menukarkan nikmat-Mu dengan kekufuran (tidak bersyukur), atau aku mengkufurinya selepas aku mengetahuinya atau aku melupainya, lalu aku tidak memuji-Mu di atas nikmat itu.”
USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH – HARAKAHDAILY 10/3/2021











