Sugarbook: Tindakan tegas perlu dilakukan segera

- Advertisement -

ARAU: Dewan Muslimat PAS Perlis membuat laporan polis terhadap aplikasi Sugarbook dan pengasasnya, Darren Chan kerana dianggap mempromosikan aktiviti yang mencalar maruah kaum wanita.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Latifah Mat berkata PAS sebagai sebuah gerakan Islam tidak boleh sama sekali berkompromi dalam isu tersebut yang pasti akan membawa negara ke lembah kehinaan.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara sebegini berleluasa dalam masyarakat, tambahan pula ia berlaku dalam kalangan orang yang berpelajaran.

“Apa yang bakal berlaku kepada kepimpinan negara akan datang, jika golongan yang dikatakan sebagai terpelajar hari ini rosak maruah dan akhlaknya.

“Kita mendesak agar kerajaan memandang serius isu ini. Tindakan tegas perlu dilakukan segera supaya ia tidak merebak,” ujarnya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kawasan Arau, hari ini.

Pada 12 Februari lalu, sebuah portal berita melaporkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi di Lembah Klang mendaftar menjadi sugar baby melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi Sugarbook dilancar di negara ini pada 2017 diasaskan individi bernama Darren Chan.

Malah pada Disember 2019 Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur mengarahkan papan tanda Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara diturunkan.

Menurut Latifah dakwaan terhadap apa yang berlaku itu amat dikesali kerana ia membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi dan mahasiswa Melayu Islam.

“Sepatutnya golongan yang berakal dan cerdik pandai tidak terlibat dengan aktiviti tidak bermoral kerana Islam melarang mendekati zina seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -