MTC akan lancar program baharu Mac ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) akan melancarkan program baharu iaitu Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 untuk menarik jurutera ceburi sektor perkayuan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata program itu akan dilancarkan pada Mac ini.

Menurutnya, ia terbuka kepada jurutera, graduan teknologi perkayuan serta mahasiswa untuk diserap ke syarikat berasaskan kayu bagi tujuan penempatan dan latihan prasiswazah dalam usaha memberikan peluang kepada golongan ini membina kerjaya di dalam industri perkayuan.

- Advertisement -

Katanya, program itu adalah kerjasama MTC dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dan politeknik tempatan serta persatuan kayu-kayan.

“Keperluan khidmat jurutera menjadi lebih penting apabila syarikat-syarikat berasaskan kayu mula beralih ke arah pendigitalan dan pembuatan pintar kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan.

“Kebanyakan perincian di dalam proses pembuatan mampu difahami dengan baik oleh jurutera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Muhtar, program berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Lima Tahun MTC yang memberi tumpuan kepada membina dan meningkatkan bilangan pekerja yang berpengetahuan dalam industri.

Katanya, program penempatan jurutera untuk menjalani latihan di tempat kerja di bawah bimbingan profesional selama setahun.

Sementara itu, katanya bagi Program Latihan Prasiswazah adalah terbuka kepada mahasiswa yang sedang melakukan latihan industri dan MTC akan menanggung semua kos latihan dan juga pemberian elaun.

Tambah Muhtar lagi, pada Mac ini juga akan berlangsungnya Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTC bersama enam persatuan kayu-kayan dan lapan universiti serta dua politeknik. Majlis MoU itu dijangka akan turut dihadiri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato ’Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -