Skuad Disinfeksi Pemuda PN usaha perangi Covid-19

- Advertisement -

MASJID TANAH: Program sanitasi secara berkala untuk masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dalam Parlimen Masjid Tanah anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka berjalan dengan lancar dengan jayanya.

- Advertisement -

Pengerusi PN Melaka, Dato’ Rafiq Naizamohideen yang hadir memantau perlaksanaan program tersebut, berharap agar wabak pandemik Covid-19 ini dapat diperangi habis- habisan.

“Alhamdulillah, hari ini saya datang selaku Pengerusi Perikatan Nasional Melaka menyempurnakan program sanitasi di Surau Haji Harun, DUN Lendu, Kampung Seri Tanjung Masjid Tanah.

“Pada hari ini, program sanitasi ini dilaksanakan Pemuda Perikatan Nasional melalui Skuad Disinfeksi Pemuda Perikatan Nasional Negeri Melaka.

“Dan usaha ini adalah sebahagian daripada usaha Perikatan Nasional Melaka untuk memastikan wabak atau pandemik Covid-19 ini akan diperangi habis-habisan demi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Negeri Melaka khususnya di Parlimen Masjid Tanah,” ujarnya kepada ketika ditemui media dalam majlis sama.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Samsudin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengerusi-pengerusi masjid dan surau kerana memberi kerjasama dalam menjayakan proses sanitasi ini.

“Alhamdulillah pada hari ini Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah dan Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah atas nama Pemuda Perikatan Nasional berjaya buat proses sanitasi masjid dan surau dalam DUN Lendu.

“Ada dua masjid dan tiga surau yang kami dapat masuk hari ini dan kami mula dalam sekitar jam 8.30 pagi sampai 12.30 tengah hari. Dan pihak kami mengucapkan terima kasih banyak pada pengerusi masjid dan surau atas kerjasama yang sangat baik.

“Alhamdulillah proses berjalan dengan lancar dan kita dapat bersihkan kawasan masjid dengan menggunakan semburan asap dan sanitasi.

“Di luar (perkarangan masjid) kita gunakan tong racun. Insya-Allah pada minggu hadapan kita akan turun di DUN Tanjung Bidara pula,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Program sanitasi oleh skuad ini yang terdiri daripada Jabatan Amal Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah dan Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah pada Ahad semalam bermula di Masjid Umar Al-Khattab Lendu diikuti oleh Masjid Nur Ehsan, Kampung Solok Duku dan beberapa buah surau dalam Kawasan Masjid Tanah.

Turut hadir dalam program ini ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som dan beberapa orang pimpinan PAS dan Bersatu tempatan.

Untuk rekod, Skuad Disinfeksi Pemuda PN Melaka dan program berkala ‘Sanitasi Masjid dan Surau Melaka’ ini telah dilancarkan oleh Rafiq pada 7 Februari lepas di Masjid Cina, Krubong, Melaka dan program ini dijalankan secara berperingkat ke kawasan-kawasan parlimen dan DUN di dalam negeri Melaka pada setiap hujung minggu. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -