Jurufoto sedia bantu peniaga kecil bangkit semula

- Advertisement -

KANGAR: Wabak Covid-19 yang mengundang duka tidak sedikit kepada rakyat di negara ini sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan.

Ada sektor perkilangan yang mengecilkan saiz perniagaan memandangkan permintaan produk berkurangan. Kesannya ada pekerja yang diberhentikan.

Paling terjejas sektor perkhidmatan terutamanya teksi, bas ekpress, perhotelan dan penerbangan. Ramai yang hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, peniaga kecil terutamanya pasar malam dan pasar tani boleh menarik nafas lega selepas kerajaan membenarkan operasi perniagaan tersebut.

- Advertisement -

Begitu juga peniaga kedai makan atau restoran segera mulai dikunjungi orang ramai selepas kerajaan membenarkan setiap meja hanya untuk dua pelanggan.

Bagaimanapun bagi merancakkan lagi perniagaan sepasang suami isteri menawarkan perkhidmatan mengambil gambar untuk promosi produk peniaga kecil-kecilan terutamanya yang terjejas akibat pandemik Covid.

Seorang jurugambar amatur, Farahiyah Abdul Aziz, 42, bersama suaminya Rodzi Had, 54, menawarkan perkhidmatan tersebut bagi membantu peniaga kecil bangkit semula.

Farahiyah berkecimpung dalam bidang fotografi sejak di bangku sekolah lagi. Beliau menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang teknologi media dan pengurusan perniagaan.

“Saya bersama suami yang juga senior dalam bidang ini memiliki studio gambar kombinasi kreatif fotografi sejak 2010.

“Dahulu kami memberi tumpuan dalam acara perkahwinan bermula dari majlis pertunangan sehingga hari pernikahan.

“Di samping itu ada juga kami memberi khidmat membuat video dakwah terutamanya untuk mencari dana menubuhkan pondok dan maahad tahfiz,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lepas permintaan mengambil gambar majlis perkahwinan berkurangan.

Namun sekarang pasangan itu menumpukan perkhidmatan membantu peniaga kecil yang ingin mempromosikan produk mereka.

Kata beliau, contohnya produk garam belacan boleh diceburi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Kami sedia membantu mempromosikan produk tersebut,” ujarnya yang seorang guru pendidikan khas di sebuah sekolah di sini.

Pasangan jurufoto terbabit dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Danish, 17, Muhammad Eirfan, 15, Wirda, 14, dan Nur Wani, 13.

“Alhamdulillah, anak-anak saya menunjukkan minat yang sama dalam bidang ini, jika dahulu mereka selalu akan turut serta bersama kami mengambil gambar perkahwinan di majlis kenduri.

“Anak-anak zaman sekarang, memang tak dapat dipisahkan dengan gajet cumanya peranan kita sebagai ibu bapa hendak mendorong mereka ke arah mana,” katanya.

Selain itu, menurut beliau lagi kerjaya jurugambar bukan hanya sekadar mengambil gambar semata-mata malahan boleh menyampaikan dakwah.

“Kami menawarkan khidmat membantu pemilik tahfiz membuat pengambaran atau video dalam usaha untuk mencari dana untuk perkembangan pusat tahfiz atau pondok,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -