
JERAI: Penggunaan air yang semakin meningkat membuatkan Loji Rawatan Air (LRA) Gurun tidak dapat menampung bekalan terutama pada musim kemarau.
Berikutan itu beberapa kawasan perumahan yang terletak di kawasan tinggi seperti Taman Gurun Jaya; Taman Murni, Seri Jerai dan Seri Utama terkesan dan mengalami masalah bekalan air sejak beberapa hari lalu.
Perkara berkenaan menjadi bualan hangat nitizen di media sosial terutama pengguna dari kawasan yang terjejas.
Menurut sumber makluman daripada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) Wilayah Kedah Tengah, setiap kali musim kemarau, 80 peratus bekalan air akan berkurangan dan kini hampir mencecah 50 peratus.
Buat masa ini LRA Gurun bergantung sumber air dari Gunung Jerai dan apabila berlaku kemarau yang agak lama menyebabkan bekalan berkurangan.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit ketika kunjungannya ke pejabat SADA baru-baru ini, turut membincangkan masalah berkenaan. Kunjungannya itu disambut baik Pengurus Kanan SADA Wilayah Kedah Tengah, Puan Ashida Abdullah.
“Sekarang ini, projek ‘by pass’ di Taman Seri Utama sedang rancak dilakukan dan kita minta penduduk agar berjimat menggunakan air serta membuat takungan simpanan air,” ujarnya yang turut dibawa meninjau LRA Gurun yang terletak di Taman Sri Utama, Gurun.
Katanya lagi, kerja-kerja penambahbaikan di LRA Jeniang fasa baru sedang diusahakan untuk membolehkan bekalan air mencukupi khususnya di Gurun.
“Pihak SADA telahpun bertungkus lumus mencari beberapa solusi untuk memastikan kesemua kawasan ini mendapat bekalan air secukupnya.
“Sila lakukan aduan segera di talian hotline 1300880017 sekiranya terputus terus bekalan air,” sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/2/2021











