
SETIAP dari kita terkesan dengan pandemik COVID-19. Setelah setahun berlalu, wabak ini masih menjadi kebimbangan utama penduduk dunia. Norma baharu yang perlu diamalkan bagi membendung penularan wabak, sangat asing dari gaya hidup yang kita lalui selama ini.
Anak-anak atau adik-beradik yang meneruskan sesi pembelajaran di rumah, pasangan yang turut bekerja sepenuh masa dari rumah dan pergerakan yang dikawal, boleh menjadikan persekitaran kita yang terhad, kini bertambah sempit.
Kesannya, kita terbeban dengan lambakan emosi yang pelbagai. Adakalanya mengelirukan dan memenatkan sehingga mengganggu rutin harian. Jika itu yang dirasai, wajarlah untuk kita berhenti sejenak dan melihat ke dalam diri. Tanpa disedari, kebimbangan dan kekalutan yang berpanjangan mungkin telah mengeringkan tangki tenaga kita.
Sebagaimana makhluk Allah yang lain, bagi berfungi secara optimum kita memerlukan tenaga yang cukup. Selain digunakan bagi menjalankan aktiviti fizikal, tenaga juga memberi kesan kepada kemampuan kita membuat keputusan yang baik dan keupayaan kita mengawal keseimbangan emosi.
Tenaga boleh dijana dengan cara pengambilan diet yang seimbang dan meluangkan waktu yang cukup untuk merehatkan badan dan minda. Tidur adalah tempoh rehat anugerah Allah yang sangat penting bagi memulihkan fungsi sistem badan. Setiap dari kita secara purata memerlukan antara 6-7 jam sehari waktu tidur tanpa gangguan. Tidur yang cukup dan tidak berlebihan dapat mengurangkan risiko masalah berat badan, masalah jantung dan sangat diperlukan bagi pemuliharaan sistem pertahanan badan. Keupayaan kita untuk memulakan hari dengan rasa segar dan bermotivasi, adalah refleksi kepada waktu tidur yang berkualiti.
Selain itu, meluangkan masa untuk diri sendiri (me time) dengan melakukan aktiviti yang disukai dan menenangkan, membantu perembesan hormon Serotonin yang dikenali sebagai hormon gembira. Hormon ini penting bagi mengawal keseimbangan emosi, kesejahteraan akal dan turut mengekalkan keupayaan sistem badan berfungsi dengan baik. Sokongan dari pasangan, sahabat atau ahli keluarga yang memahami, mungkin sangat diperlukan bagi memastikan setiap dari kita dapat meluangkan waktu yang berkualiti untuk diri sendiri.
Hormon Endorphin juga merupakan salah satu hormon yang dapat merangsang rasa gembira. Ia membantu mengawal tekanan (stress) dan mengurangkan kesakitan. Aktiviti fizikal seperti senaman ringan, berjalan, berjogging, berbasikal dan berenang dapat membantu perembesan hormon ini. Sewajarnya kekal cergas menjadi sebahagian dari rutin harian, bagi menjamin tahap kesihatan minda dan fizikal kita terpelihara.
Kerana itu, kesungguhan kita untuk menjadi hamba Allah yang taat, ahli keluarga yang saling melengkapi dan unit masyarakat yang memberi manfaat kepada ummah, perlulah bermula dengan kegigihan kita memberi perhatian, menjaga dan menyayangi diri sendiri. Dalam erti kata mudah, seseorang yang menyayangi dirinya sendiri, akan menyayangi insan di sekelilingnya dengan lebih baik. Ibarat kata hukamak:
فاقد الشيء لا يعطيه
“Orang yang tidak memiliki (sesuatu), tidak dapat memberi (sesuatu itu).”
Mudah-mudahnya usaha kita menunaikan hak kepada diri sendiri, dikira sebagai sebahagian dari tanda ketaatan kita kepada Rabbul Izzati. Seterusnya, ia meningkatkan kecekapan kita dalam melaksanakan tanggungjawab harian dan berbakti dengan penuh keredhaan serta dedikasi.
DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park
Rujukan utama;
Dfarhud et al., Happiness & Health: The Biological Factors- Systematic Review Article. Iranian J Publ Health, 2014, 43 (11) : 1468-1477 – HARAKAHDAILY 8/2/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











