PKP 2.0 beri kesan positif kepada empat negeri

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini telah memberi kesan positif kepada empat buah negeri, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Negeri terbabit adalah Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang mula menunjukkan trend jumlah kes harian baharu yang semakin melandai.

Namun begitu, katanya peningkatan kes harian Covid-19 masih berlaku terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor kerana negeri berkenaan berkepadatan tinggi di samping mempunyai kegiatan ekonomi dan industri yang rancak.

Katanya, menyedari kaedah yang paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ialah dengan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya (total lockdown), atau penutupan hampir sepenuhnya sektor-sektor ekonomi.

- Advertisement -

“Ini tentunya akan membolehkan rakyat duduk di rumah seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini.

“InsyaAllah, jika ini kita lakukan, dalam tempoh beberapa minggu kita akan dapat melandaikan semula lekuk jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya dalam penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19, hari ini

Namun Muhyiddin berkata, pelaksanaan perintah berkurung akan memberikan kesan yang amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Menurutynya, banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar, perusahaan lumpuh, dan rakyat akan hilang pekerjaan serta mata pencarian.

“Kehidupan rakyat pastinya akan terjejas dengan teruk. Ini adalah satu keadaan yang kita mesti sama-sama elakkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata beliau sekiranya pergerakan rakyat tidak dikawal, rantaian jangkitan Covid-19 sukar untuk dibendung.

Malahan kes-kes akan terus meningkat, hospital-hospital tidak dapat menampung kes-kes baharu yang semakin bertambah dengan mendadak, sistem kesihatan awam akan lumpuh, dan nyawa rakyat akan terancam, katanya.

Jelas Muhyiddin, kaedah terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu untuk terus beroperasi dan pada masa yang sama melaksanakan SOP yang ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan di dalam komuniti.

“Pastinya ini memerlukan kerjasama semua pihak. Majikan misalnya, telah ada arahan supaya hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan yang boleh hadir ke pejabat atau premis perniagaan, manakala yang lainnya mesti bekerja dari rumah.

“Apabila arahan ini dipatuhi, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pekerja dalam kategori ini tidak berada di pejabat atau di premis-premis perniagaan. Mereka dikehendaki duduk rumah.

“Ini bermakna walaupun kerajaan tidak melaksanakan perintah berkurung, pergerakan orang ramai dalam pengangkutan awam, di jalan raya dan di premis-premis pejabat dan perniagaan dapat dikurangkan dan pada masa yang sama ekonomi dan industri dapat terus beroperasi,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILLY 4/2/2021

- Advertisement -