MADA giat tingkatkan pengeluaran padi negara

Di sebalik dakwaan 35,000 hektar sawah ‘hilang’ dan Kedah bakal hilang status negeri Jelapang Padi jika makin banyak bendang dimajukan

- Advertisement -

KELUASAN asal kawasan penanaman padi di Kawasan Muda adalah seluas 96,558 hektar iaitu 77,882 hektar di Negeri Kedah dan 18,676 hektar di Negeri Perlis. Mengikut rekod MADA kawasan sawah padi di dalam Kawasan Muda yang telah diluluskan ubah syarat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak daripada tahun 1970 sehingga 2020 adalah seluas 8,389.02 hektar.

Pada tahun 2009 Kerajaan Negeri Kedah telah mewartakan tambahan seluas 2,730 hektar kawasan penanaman padi sebagai Kawasan Muda dan pada tahun 2011 Kerajaan Negeri Perlis turut mewartakan seluas 1,397 hektar kawasan penanaman padi sebagai Kawasan Muda. Pewartaan kawasan pinggir MADA ini menjadikan keseluruhan parsel padi di Kawasan Muda adalah seluas 100,685 hektar.

- Advertisement -

Pihak MADA sentiasa optimis untuk terus menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran padi Negara melalui pelbagai program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Pada tahun 2011 MADA telah melaksanakan Projek Estet Padi di bawah program National Key Economic Area (NKEA) EPP 10 yang mensasarkan peningkatan hasil padi bagi setiap hektar kawasan sawah padi.

Kesinambungan program ini diteruskan dengan pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang dimulakan pada tahun 2020 sebagai pemangkin kepada peningkatan hasil padi. Program ini mensasarkan penglibatan usahawan padi, PPK dan pihak GLC bagi mengusahakan sawah padi di dalam skala yang besar.

Impak daripada usaha ini, sumbangan pengeluaran padi oleh Kawasan Muda kepada Negara telah meningkat kepada 43 peratus pada tahun 2020 berbanding 40 peratus pada pada tahun 2018. Sebagai rekod pada tahun 2020 purata hasil padi yang dikeluarkan adalah sebanyak 5.98 metrik tan per hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 1.204 juta metrik tan bernilai RM1.87 billion.

Sebagai langkah ke hadapan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, MADA akan memfokuskan kepada penggunaan teknologi IR4.0 seperti GIS untuk sistem membuat keputusan dan amaran awal, teknologi pertanian tepat bagi pengurusan ladang yang lebih efisien dan pembangunan peladang muda sebagai generasi pelapis. Adalah dijangkakan purata pengeluaran hasil padi di Kawasan Muda dapat ditingkatkan kepada 6.50 metrik tan sehektar menjelang tahun 2025.

MADA yakin langkah yang dirancang ini dapat meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan peladang sekali gus menjamin keselamatan pengeluaran makanan Negara dengan dukungan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kerajaan Negeri Kedah dan Negeri Perlis.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Pengerusi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda – HARAKAHDAILY 2/2/2021 

- Advertisement -